Selasa, 15 November 2016 | 1:57pm

Elizabeth Tan 'berguru' dengan Awi Rafael

PENYANYI, Elizabeth Tan (kiri) dan teman duetnya untuk lagu Setia, Awi Rafael.
PENYANYI, Elizabeth Tan (kiri) dan teman duetnya untuk lagu Setia, Awi Rafael.

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Elizabeth Tan menggunakan peluang mempelajari teknik vokal di bawah seliaan teman duetnya untuk lagu Setia, Awi Rafael bagi menyerlahkan kemampuan sebenar di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 31, minggu lalu.

Gadis yang mencipta nama menerusi Youtube itu mengakui vokalnya tidak setanding penyanyi lain sekali gus peluang beraksi secara langsung bersama Awi yang juga pengganti rakan duet asal bagi dendangan berkenaan digunakan sebaik mungkin.

"Kami digandingkan di Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 selepas Faizal Tahir menarik diri. Pada masa sama, beliau turut membantu saya memperbaiki teknik nyanyian serta kawalan vokal sepanjang latihan sebelum pertandingan.

"Sejujurnya saya tidak berkecil hati andai ada pihak memandang rendah kemampuan vokal saya kerana ia benar. Saya sedar tahap kebolehan saya di arena ini yang belum setara penyanyi lain. Namun saya lebih selesa dipanggil penghibur.

ELIZABETH Tan dan Awi Rafael.
ELIZABETH Tan dan Awi Rafael.

"Ini kerana saya tidak bergantung kepada nyanyian semata-mata sebaliknya menyerlahkan bakat serta aspek lain bagi menutup kekurangan. Saya ingin peminat terhibur dengan persembahan yang saya berikan," katanya kepada BH Online.

Pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik 31 yang menyaksikan 30 karya dipertandingkan membariskan juri profesional diketuai Datuk Ramli MS, AG Coco, Habsah Hassan, Yasin Sulaiman, Azlan Abu Hassan, Edrie Hashim, Johan Nawawi dan Azlan Typewriter.

Lagu Setia yang juga ciptaan Faizal turut mara ke malam kemuncak AJL 31 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 22 Januari tahun depan sekali gus melayakkannya bertarung dengan calon lain di pentas itu.

Kali pertama penyanyi itu beraksi di finale AJL adalah pada tahun lalu dengan lagu Knock Knock.

Berita Harian X