Selasa, 22 November 2016 | 4:41pm

Altimet hasilkan 40 lagu setahun

(DARI kiri) Sasi The Don, Maya Hanum dan Altimet pada majlis pelancaran lagu tema Mudah.my berjudul Memang Mudah di pejabat syarikat pemasaran dalam talian itu, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Shiraz Ali
(DARI kiri) Sasi The Don, Maya Hanum dan Altimet pada majlis pelancaran lagu tema Mudah.my berjudul Memang Mudah di pejabat syarikat pemasaran dalam talian itu, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi rap, Altimet, mendedahkan beliau menghasilkan kira-kira 40 lagu sepanjang tahun 2016.

Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman, 38, berkata, berikutan penghasilan lagu terlalu sebati dengan dirinya, beliau pernah menghasilkan sebanyak sembilan karya pada Julai lalu.

"Ilham menghasilkan lagu boleh muncul tanpa mengira waktu. Saya perlu sentiasa bersedia kerana pada bila-bila masa saja Tuhan akan memberikan saya ilham.

"Pernah berlaku, idea muncul secara tiba-tiba ketika saya sedang memandu. Ketika itu, saya akan berhentikan kenderaan ke tepi jalan dan tulis apa yang ada di fikiran. Kemudian baru saya sambung memandu," katanya kepada BH Online.

Altimet berkata demikian pada majlis pelancaran lagu tema Mudah.my berjudul Memang Mudah di pejabat syarikat pemasaran dalam talian itu, di sini hari ini.

Tambah Altimet, gara-gara sikapnya yang pendiam kerana memikirkan ilham lagu, selain melihat gelagat masyarakat sekeliling, ada pula yang menganggap beliau sombong.

"Kadang-kala orang berasa pelik dengan sikap saya yang tiba-tiba boleh jadi pendiam. Bagi mereka yang sudah kenal lama, masing-masing akan faham. Bagi mereka yang baru mengenali saya, ada yang ingat saya sombong.

"Apa pun inilah diri saya. Jika banyak bercakap, idea pula tak muncul-muncul," selorohnya.

Mengenai lagu Memang Mudah, ia dicipta sepenuhnya oleh Altimet dan dinyanyikan oleh Maya Hanum, Sasi The Don dan beliau sendiri.

Memang Mudah dihasilkan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke sembilan Mudah.my Sdn Bhd.

Berita Harian X