X
Khamis, 24 November 2016 | 9:02pm

Tomok ganti Azlan dalam Mentor Milenia 2017

TOMOK dipilih menggantikan tempat Azlan & The Typewriter dalam musim terbaharu program realiti, Mentor Milenia 2017. - Foto Aziah Azmee
TOMOK dipilih menggantikan tempat Azlan & The Typewriter dalam musim terbaharu program realiti, Mentor Milenia 2017. - Foto Aziah Azmee

PETALING JAYA: Penyanyi, Tomok, dipilih menggantikan tempat Azlan & The Typewriter dalam musim terbaharu program realiti, Mentor Milenia 2017.

Pemilihan penyanyi berusia 32 tahun itu dibuat berdasarkan kredibiliti dan pengalamannya dalam bidang seni sehingga berjaya bergelar juara program, One In A Million dan Versus 2 bersama kumpulan Manifesto.

Masih mengekalkan tiga lagi mentor asal, iaitu Akim, Hazama dan Black, kehadiran Tomok disifatkan Penerbit Eksekutifnya, MohamaSufian Isa, sebagai gabungan sesama rakan dalam usaha mencari bintang pelapis.

"Azlan tidak dapat memberikan komitmennya untuk musim terbaharu nanti, jadi kita mencari seseorang yang bukan sekadar mampu berbuat begitu, sebaliknya mempunyai latar belakang luas di bidang seni. Justeru, pemilihan Tomok dianggap keputusan yang tepat, sesuai dengan pencapaiannya sebelum ini.

"Pemilihannya juga dilihat sebagai gabungan sesama rakan kerana masing-masing berkawan rapat. Jadi, persaingan pastinya wujud dalam mencari protege terbaik masing-masing," katanya.

Seperti musim sebelum ini, program terbabit tidak mengetengahkan mentor wanita untuk sama-sama mencari bakat baharu di dunia seni suara tanah air. Selain itu, keempat-empat mentor terbabit juga tidak jauh perbezaan genrenya.

"Tidak timbul soal mentor wanita atau lelaki kerana matlamat kita adalah mencari mereka yang berkelayakan dan sanggup memberikan komitmen dalam program selama 13 minggu nanti.

"Pemilihan mentor daripada genre yang sama pula adalah untuk kita melihat kreativiti masing-masing dalam mengasah bakat protege terpilih, termasuk dalam nuansa muzik bukan kekuatan mereka seperti Irama Malaysia," kata Sufian lagi.

Menurutnya, program terbabit masih mengekalkan format seperti musim lalu dengan setiap mentor akan mencari dua protege.

"Dari segi konsep, kita sudah bersetuju agar tidak terlalu banyak perubahan dilakukan, kecuali pertukaran mentor," katanya.

Berita Harian X