Jumaat, 25 November 2016 | 2:36pm
DATUK Siti Nurhaliza dan Yuna. - Foto Rohanis Shukri
DATUK Siti Nurhaliza dan Yuna. - Foto Rohanis Shukri
ANTARA barisan artis dan wakil penaja yang hadir pada sidang media pengumuman hos, artis persembahan dan penyampai anugerah di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ANTARA barisan artis dan wakil penaja yang hadir pada sidang media pengumuman hos, artis persembahan dan penyampai anugerah di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
HARITH Iskandar dan Adibah Noor. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
HARITH Iskandar dan Adibah Noor. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Siti, Yuna antara artis popular jayakan persembahan AIM 22

KUALA LUMPUR: Dua nama besar industri muzik negara, Datuk Siti Nurhaliza dan Yuna bakal menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWCT), 18 Disember depan.

Mereka dijadualkan menghangatkan pentas dalam persembahan duet bersama pasangan masing-masing iaitu Faizal Tahir dan SonaOne.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim, berkata pemilihan artis bagi segmen persembahan dibuat berdasarkan populariti dan kualiti masing-masing.

"Bersesuaian dengan tema AIM itu sendiri iaitu 'Kemuncak Segala-Galanya', kami memastikan artis yang dipilih untuk membuat persembahan memenuhi cita rasa peminat industri muzik tempatan.

"Kami yakin dengan barisan artis yang ditampilkan akan menghangatkan lagi malam kemuncak anugerah ini, yang juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro HD (123)," katanya pada sidang media pengumuman hos, artis persembahan dan penyampai anugerah di sini, semalam.

Turut terbabit dalam persembahan malam kemuncak itu nanti ialah dua penyanyi yang sedang mencipta nama, Aiman Tino dan Sufian Suhaimi.

Tidak ketinggalan Akim & The Majistret, Ameng, Hazama, Khalifah, Pojector Band, Datuk AC Mizal dan Syamsul Yusof yang mewakili genre muzik masing-masing seperti pop, hip hop, rock dan balada.

Rosmin berkata, begitu juga dengan penyampai yang menyaksikan deretan nama popular, bukan saja di bidang muzik tetapi juga lakonan seperti Amyra Rosli selain pemenang rancangan realiti Gegar Vaganza 3.

Malam kemuncak itu bakal dikemudi pasangan pengacara yang memang berada pada kelas tersendiri iaitu Harith Iskandar dan Adibah Noor.

Harith ketika ditemui berkata, meskipun AIM bukan pentas asing bagi dirinya, beliau tetap membuat persiapan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

"Saya juga gembira untuk berganding dengan Adibah buat julung kali di pentas AIM, walaupun sebenarnya kami sudah beberapa kali bekerja bersama sebagai pengacara pada beberapa acara lain," katanya.

Adibah turut bersetuju dengan Harith dan lebih selesa memastikan acara berlangsung dengan santai serta mengikut perancangan.

"Saya memang gembira dan tidak sabar untuk beraksi dengan Harith. Kami lebih kepada penyampaian spontan dan saya percaya dengan gandingan kami," katanya.

AIM 22 menyaksikan Album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged mendominasi senarai akhir pencalonan dengan menerima tujuh pencalonan menerusi enam daripada 17 kategori yang dipertandingkan.

Album terbitan penyanyi terkenal itu bersama Mujahid Abdul Wahab dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Terbaik.

Dua lagu yang dipetik daripada album berkenaan iaitu Menatap Dalam Mimpi dan Jaga Dia Untukku turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Mengekor rapat Siti ialah rakan duetnya menerusi lagu Dirgahayu, Faizal, yang dicalonkan dalam empat kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Pop Terbaik. Bagi kategori Lagu Pop Terbaik, dua lagu nyanyiannya iaitu Assalamualaikum dan Sejati turut tersenarai sebagai calon Top 5.

Berita Harian X