X
Ahad, 4 Disember 2016 | 2:40pm
TOMOK dan Black.
TOMOK dan Black.

Black, Tomok hadiah single Rempuh untuk peminat

BLACK teruja hasrat tertangguh untuk bekerjasama dengan rakan seperjuangan, Tomok berjaya direalisasikan.
BLACK teruja hasrat tertangguh untuk bekerjasama dengan rakan seperjuangan, Tomok berjaya direalisasikan.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Black, 29, teruja hasrat tertangguh untuk bekerjasama dengan rakan seperjuangan, Tomok berjaya direalisasikan.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah berkata, lagu duet bersama Tomok bakal menjadi pembuka tirai bagi tahun 2017.

"Sudah lama saya suarakan keinginan untuk berduet bersama Tomok. Ini diluahkan sejak kami bernaung di bawah satu pengurusan lagi.

"Namun, hasrat itu sering tertangguh. Akhirnya, selepas lama tidak menghasilkan lagu duet, single Rempuh adalah buah tangan kami untuk peminat sempena tahun baharu," katanya kepada BH Online.

Akui Black, tidak sukar mencari keserasian dengan Tomok.

PENYANYI, Black.
PENYANYI, Black.

"Kami sering menjayakan persembahan bersama. Keserasian itu sudah lama terjalin antara kami," katanya.

Black yang terkenal dengan lagu Anugerah Terindah memberitahu, video muzik bagi Rempuh sudahpun selesai menjalani penggambaran.

Black dan Tomok sepakat memilih pengarah, Ghaz Abu Bakar untuk mencorakkan video muzik terbabit mengikut kreativitinya.

"Kami menjalankan penggambaran di kapal korek di Tanjung Tualang, Perak. Selepas melihat hasil kerja Ghaz, kami percaya dia adalah pilihan terbaik untuk mengarahkan muzik video kami," katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Black sedang mencari 'anak didik' untuk program Mentor Milenia musim kedua. Selain Black, Hazama, Akim dan Tomok turut berperanan sebagai mentor bagi memilih penyanyi yang memiliki bakat terpendam.

Berita Harian X