Selasa, 6 Disember 2016 | 4:13pm

Jadual padat, Ayda tunda 'terbang' ke Indonesia

Pelakon, Ayda Jebat pada majlis Hari Raya bersama produk Gintell di Wangsa Walk, Wangsa Maju. - Foto Nik Hariff Hassan
Pelakon, Ayda Jebat pada majlis Hari Raya bersama produk Gintell di Wangsa Walk, Wangsa Maju. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Video muzik lagu 'meletup', Pencuri Hati versi dangdut sudah boleh ditonton di YouTube, namun, penyanyinya, Ayda Jebat belum dapat 'mencuri' masa mempromosikannya di Indonesia.

Penyanyi yang terkenal dengan tagline, Muah Ciked itu memberitahu BH Online, jadual dan komitmennya yang padat membuatkan dirinya sukar mencari tarikh untuk 'terbang' ke Jakarta.

"Biar apapun, saya mesti realisasikan hasrat mempromosikan lagu Pencuri Hati versi dangdut di Indonesia secepat mungkin.

"Saya harap perancangan itu tidak tertunda lagi. Ini kerana awal bulan depan, saya akan terbabit dengan penggambaran drama untuk slot Akasia TV3.

"Ikutkan hati hendak selesaikan urusan di Indonesia bulan ini juga, apatah lagi video muzik sudah dimainkan di YouTube... Tapi semua itu bagaikan mustahil," katanya.

Selain ligat di pentas, Ayda juga laris menjadi jurucakap atau duta produk. Rezekinya murah apabila dilantik sebagai duta mempromosi pelbagai jenis produk termasuk telefon bimbit Oppo, mesin urut Gintell, wangian House Of Dre.

"Saya paling teruja dan bangga menjadi artis pertama Malaysia yang dipilih untuk kempen jenama H&M selama empat bulan pada Ramadan dan Aidilfitri lalu.

"Terbaharu, saya ditawarkan menjayakan kempen jenama Sephora bagi promosi Krismas dan sambutan tahun baharu 2017.

"Kebetulan pihak yang menguruskan kedua-dua kempen ini saling mengenali," katanya yang akan bertemu peminat pada sesi ramah mesra di sebuah cawangan Sephora di ibu negara, esok.

Berita Harian X