Rabu, 14 Disember 2016 | 7:15pm

Headwind bergabung dalam konsert istimewa

KUMPULAN Headwind. - Foto Adi Safri
KUMPULAN Headwind. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Hasrat peminat menyaksikan kumpulan popular era 1980-an, Headwind bergabung bakal menjadi kenyataan pada persembahan The Musical Journey Of Zainal Abidin - 35th Anniversary Concert Featuring Headwind di ibu negara, Februari depan.

Konsert yang meraikan ulang tahun ke-35 band itu akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Vokalis Headwind, Datuk Zainal Abidin, 57, memberitahu, dia dan teman-teman band mahu mengajak penonton mengimbau zaman kegemilangan mereka pada konsert istimewa itu.

"Konsert ini akan mengajak penonton bernostalgia. Mungkin ketika lagu kami popular, pada waktu itulah mereka bertemu pasangan masing-masing, bercinta, berkahwin dan sebagainya.

"Justeru inilah masanya untuk mereka mengimbau kenangan lagu sambil dihiburkan dengan nyanyian kami," katanya pada sidang media mengumumkan konsert itu di sini, petang ini.

Yang turut hadir pada majlis itu, penganjur konsert berkenaan, Shiraz daripada Netzah Production Sdn Bhd dan semua anggota asal kumpulan berkenaan iaitu Zulkifli Kasim, Nicky Oii, Kudin dan Abdul Razak Salleh.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan Headwind boleh mendapatkan tiket menerusi laman web www.myticket.asia atau menghubungi talian 03-80766700/03-80766500.

Harga tiket bermula daripada serendah RM158 hingga pakej VIP bernilai RM958 yang dilengkapi album edisi terhad Zainal dan baju T.

Berita Harian X