X
Khamis, 29 Disember 2016 | 10:11pm

Hilangnya permata irama Melayu asli

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Tan Sri SM Salim, 88, disifatkan rakan artis sebagai kehilangan besar bagi genre irama Melayu asli.

Kalangan anak seni kagum dengan perjuangan Allahyarham mempertahankan irama Melayu asli biarpun industri muzik terus berevolusi.

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang bersedih atas pemergian SM Salim menganggap industri hiburan kehilangan tokoh seni serba-boleh.

"Arwah umpama ayah yang banyak memberi nasihat dan contoh yang baik serta ilmu untuk dimanfaatkan generasi muda.

"Kenangan berduet dengan arwah dalam lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Bergending Dang Gong, antara pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan," katanya yang memohon maaf tidak dapat menziarahi arwah kerana terikat dengan komitmen di Jakarta.

Penyanyi Madah Berhelah, Ziana Zain pula menyifatkan Allahyarham sebagai penghibur yang memiliki kredibiliti dan ketokohan tinggi.

"Arwah dan bapa saya pernah bersama-sama dalam kumpulan dondang sayang satu ketika dulu. Saya yakin bapa juga sedih dengan kehilangan arwah.

"Kenangan membuat persembahan bersama arwah dalam sebuah rancangan RTM, mendendangkan lagu Joget Burung Tiong antara memori paling manis sepanjang karier saya," katanya.

Datuk Jamal Abdillah pula menganggap arwah seniman legenda yang tulen dan berbakat besar.

"Bukan saja dalam bidang nyanyian, arwah juga boleh menulis lagu, mencipta dan menjadi pengacara selain juruhebah radio. Arwah juga berbakat sebagai pelawak.

"Saya bersyukur berpadu suara bersama arwah dan Yusof Kopratasa ketika merakamkan Lagu Zaman di bawah label WEA," katanya.

Datuk Zainalabidin mengakui sukar mengungkap kata-kata apabila mendapat tahu tokoh disegani sudah meninggal dunia.

"Saya sempat melawat arwah beberapa jam sebelum pemergiannya. Sambil memegang tangannya, saya cuba bercakap walaupun arwah tidak memberikan respon.

"Sukar mahu mengungkap perasaan apabila mendapat khabar arwah sudah tiada. Terasa seperti kehilangan bapa sendiri," katanya.

Zainalabidin teringat pesanan arwah kepadanya yang berbunyi:

"Nal, sejauh mana kau terbaik, sebanyak mana anugerah kau dapat, akhirnya kau akan jatuh ke tanah juga. Be humble'."

Berita Harian X