Rabu, 18 Januari 2017 | 6:36pm
PELAKON, Rozita Ce Wan dan suami, Zain Saidin bergambar bersama anaknya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PELAKON, Rozita Ce Wan dan suami, Zain Saidin bergambar bersama anaknya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Terima tawaran The House kerana bayaran - Che Ta

ROZITA Che Wan dan suami, Zain Saidin. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ROZITA Che Wan dan suami, Zain Saidin. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan, mengaku soal bayaran menjadi faktor utama beliau menerima tawaran untuk muncul dalam program realiti, The House musim ketiga.

Menurut Rozita atau lebih akrab disapa Che Ta, walaupun kejujurannya itu mungkin akan menyebabkan dirinya dilabel sanggup menjual kisah kehidupan peribadi demi wang, wanita berusia 43 tahun ini enggan mengambil peduli hal sedemikian.

"Tiada siapa dalam dunia ini yang sanggup buat kerja secara percuma. Selain sesuai dengan jadual kami anak-beranak dan skripnya yang baik, soal bayaran juga menjadi keutamaan.

"Bagi saya, ia lebih baik daripada kita tunjuk kehidupan peribadi di laman sosial, tetapi tak dapat apa-apa bayaran.

"Orang nak kata apa pun saya tak kisah. Selama ini pun, apa saja yang kita buat, orang tetap mengata juga," tegas Che Ta pada sidang media musim terbaharu program itu di KLCC, di sini sebentar tadi.

Hadir sama suami bintang Kiah Pekasam berkenaan, Zain Saidin, dan tiga anaknya, Ammar Efendy, Aniq Ezra dan Aaisyah Dhia Rana.

Ditanya apakah program itu nanti akan memaparkan kehidupan sebenar keluarganya, Che Ta berkata, hanya sebahagian yang akan didedahkan.

"Apa yang akan disaksikan nanti hanyalah 40 peratus daripada kehidupan kami sekeluarga. Sebanyak 60 peratus lagi masih saya simpan," kata Che yang turut dikenali sebagai pengacara.

Program The House 3 akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD pada setiap Rabu, jam 9.30 malam, mulai 25 Januari ini.

Berita Harian X