Rabu, 15 Februari 2017 | 2:13pm

Haziq galak isteri makan kurma ketika hamil

PENYAMPAI radio Hot FM, Haziq dan isterinya, Ayunda Putri Mekarsari.
PENYAMPAI radio Hot FM, Haziq dan isterinya, Ayunda Putri Mekarsari.

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Haziq, menggalakkan isterinya, Ayunda Putri Mekarsari, mengamalkan pengambilan kurma dalam menu harian ketika usia kandungan wanita itu mencecah tujuh bulan.

Katanya, kurma mengandungi pelbagai khasiat yang sudah tentu membantu kesihatan wanita hamil.

Haziq atau nama penuhnya, Haziq Hussni, 27, turut memberitahu, beliau kini lebih banyak menghabiskan masa bersama isterinya ketika kandungan Ayunda semakin sarat.

"Buat masa ini, saya banyak menghabiskan masa bersama Putri di rumah dan tidak lagi kerap melepak di luar seperti dulu. Memandangkan saya kini menyandang status bakal bapa, rutin hidup seharian tidak lagi seperti zaman dulu.

"Saya juga banyak membaca perihal pemakanan yang bagus untuk wanita mengandung dan kurma adalah salah satu daripadanya. Oleh itu, saya menyarankan kepada Putri untuk menggabungkan kurma dan susu dalam gizi harian.

"Alhamdulillah, Putri tidak mengidam makanan yang pelik dan kehamilan sulung ini pula tidak banyak memberikan masalah kepadanya. Namun begitu, saya berdebar juga kerana tinggal dua bulan lagi sebelum bergelar bapa," katanya kepada BH Online.

Haziq, yang juga pengacara Nasi Lemak Kopi O, bersyukur emak Putri dan ibunya sendiri banyak membantu sepanjang kehamilan isterinya.

Terdahulu, penyampai radio yang kini mengendalikan segmen malam ini mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, yang juga wanita kelahiran Medan, Indonesia, itu pada 15 Julai lalu.

Berita Harian X