Jumaat, 17 Februari 2017 | 9:06pm

Siti rakam album baharu selepas bercuti di Palestin

SITI bergambar di lokasi yang menjadi mercu tanda Kota Palestin. - Foto ihsan Datuk Siti Nurhaliza
SITI bergambar di lokasi yang menjadi mercu tanda Kota Palestin. - Foto ihsan Datuk Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkemuka, Datuk Siti Nurhaliza bakal memasuki studio bagi merakamkan album solo terkini sekembalinya daripada percutian ke Palestin.

Menurut Siti, buat permulaan, beliau akan merakamkan empat lagu terlebih dulu sebelum memilih satu daripadanya untuk dijadikan single pertama.

"Antara lagu yang bakal Siti rakamkan nanti ialah karya milik Mohariz Yaakup, Aubrey Suwito dan komposer Indonesia, Ivan.

"Lagu ciptaan Mohariz itu melodinya seperti sentuhan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. Ivan pula mencipta dua lagu, iaitu sebuah dendangan solo dan satu lagi lagu duet bersama penyanyi seberang, Judika.

"Selepas rakaman empat lagu ini, barulah Siti akan teruskan dengan proses rakaman album penuh," ceritanya kepada BH Online.

Ketika ini, Siti yang sedang popular dengan lagu Dirgahayu, duetnya bersama Faizal Tahir, berada di bumi anbia berkenaan dan akan pulang ke tanah air pada 23 Februari.

Kali terakhir Siti muncul dengan album solo studio adalah pada 2014 dengan Fragmen. Menerusi album terbabit, beliau popular dengan lagu Jaga Dia Untukku, Terbaik Bagimu dan Lebih Indah.

Fragmen juga muncul sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2014. Tahun lalu pula, Siti sekali lagi memenangi kategori tertinggi itu pada anugerah berkenaan bersama album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged.

Menerusi kedua-dua album terbabit pula beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Wanita.

Berita Harian X