Khamis, 23 Februari 2017 | 6:20pm

Fattah Amin perlu pasangan baharu

Michael Ang
Michael Ang

KUALA LUMPUR: Selepas pelakon, Neelofa, tidak dapat menjayakan drama bersiri, Hero Seorang Cinderella, pengarahnya, Michael Ang, memutuskan untuk mengadakan uji bakat bagi mencari aktres sesuai melakonkan watak wanita utama.

Michael berkata, penggambaran drama akan bermula 19 Mac ini dan beliau akan mengadakan dua sesi uji bakat berbeza dalam masa terdekat, masing-masing bagi pelakon baharu dan berpengalaman.

"Sebenarnya saya agak pening, siapa yang sesuai menggantikan Neelofa untuk menggalas watak Medina (Cinderella). Jadi, kami akan membuat pencarian bagi watak itu.

"Uji bakat akan diadakan bagi bakat baharu dan pelakon sedia ada. Setakat ini, antara pelakon yang berada dalam fikiran saya ialah Emma Maembong, Fazura, Fathia, Nelydia Senrose dan Zara Zya," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, kejayaan drama bersiri Suri Hati Mr Pilot membuatkan Michael berhasrat menggandingkan semula pasangan pelakon, Neelofa dan Fattah Amin, menerusi naskhah terbarunya, Hero Seorang Cinderella.

Bagaimanapun, pengacara rancangan Meletop itu baru-baru ini menyatakan tidak dapat berlakon dalam drama itu atas sebab-sebab tertentu.

Michael akur apabila tidak dapat menyatukan kedua-dua selebriti terbabit dan mengambil sikap positif bagi mencari gandingan yang benar-benar serasi dengan Fattah.

Katanya, lebih baik beliau mencari gandingan baharu untuk pelakon lelaki itu dengan harapan produk lakonan mereka akan lebih meledak berbanding karyanya sebelum ini.

Berita Harian X