Ahad, 5 March 2017 | 1:48pm

Nora Danish kahwin hujung bulan ini?

KUALA LUMPUR: Ringkas jawapannya, namun reaksi Nora Danish saat dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi cukup membuktikan beliau sebenarnya sedang menghitung hari untuk disatukan dengan cinta hatinya, Nedim Nazri.

"Insya-Allah, itu saja," demikian jawapan ringkas Nora, seakan-akan tidak menafikan berita disiarkan dalam ruangan pojok sebuah akhbar, hari ini, yang mengatakan mereka dijangka berkahwin sama ada hujung bulan ini atau awal bulan depan.

Menerusi temubual terdahulu, Nora bagai turut memberikan bayangan mengenai hari bahagian dengan cinta hatinya itu.

"Memang belum ada sebarang kepastian mengenai soal perkahwinan ketika ini. Namun, saya berharap ia akan tetap dapat dilangsungkan pada tahun ini.

"Cuma, saya tidak mahu memaklumkan tarikhnya kerana bimbang ia tidak menjadi kenyataan," kata Nora.

Pelakon berusia 34 tahun yang juga ibu tunggal kepada anak lelaki diberi nama Putera Rayqal itu juga enggan berlebih-lebih dalam merencana majlis perkahwinannya.

Nora Danish dan Nedim. - Foto ihsan Instagram Nedim
Nora Danish dan Nedim. - Foto ihsan Instagram Nedim

Tegasnya, beliau hanya ingin melakukan acara wajib, iaitu akad nikah.

"Siapa yang tidak mahu berkahwin? Saya sendiri sudah bertahun-tahun mengatakan ingin berkahwin.

"Kalau semuanya dipermudahkan, saya hanya mahu majlis akad nikah yang diadakan di rumah secara kecil-kecilan dan seringkas mungkin," kata pelakon filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 itu.

Selama menjalinkan cinta dengan lelaki terbabit, hubungan mereka turut diuji selepas dilaporkan putus sekitar Ogos 2015.

Bagaimanapun, hubungan itu berjaya diselamatkan kembali.

Sebelum ini, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Mereka berkahwin pada Jun 2006 dan bercerai kira-kira dua tahun kemudian.

Nedim juga seorang duda anak satu selepas dikatakan bercerai dengan bekas isteri, Nabilah Khan, pada 2013.

Berita Harian X