Isnin, 13 March 2017 | 6:43pm

Aliff Aziz teruja isteri hamil lima bulan

ALIFF gembira isterinya, Bella Astillah, kini hamil lima bulan.
ALIFF gembira isterinya, Bella Astillah, kini hamil lima bulan.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, 27, berkongsi berita gembira isterinya, Bella Astillah, kini hamil lima bulan.

Aliff atau nama penuhnya, Mohamad Aliff Aziz yang nyata teruja bakal menukar status menjadi bapa dalam tempoh empat bulan lagi berharap dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

"Alhamdulillah, Bella kini hamil lima bulan dan tidak mengidam sebarang makanan pelik sepanjang tempoh kehamilan. Cuma ada kalanya Bella teringin makan apabila melihat gambar yang dimuat naik di sosial media.

"Biarpun pada trimester awal, Bella mudah marah kerana perubahan hormon, sebagai suami saya memahami perkara itu. Bella yang bertubuh kecil kini mudah penat.

"Pada masa sama, saya berharap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan baik. Kami tidak merancang sebaliknya menyerahkan kepada Allah untuk memberikan rezeki ini," katanya kepada BH Online.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September lalu dalam majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga terdekat.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Aliff kini menjalani penggambaran drama bersiri Di Sebalik Wajah yang turut membariskan Diana Danielle sebagai teraju utama.

"Saya tertarik membintangi drama berkenaan disebabkan jalan ceritanya yang menarik. Seperti ada semangat baharu setiap kali hendak ke lokasi kerana saya meminati plot drama bersiri ini," kata Aliff.

Selain itu, drama rantaian lakonannya bersama Mira Filzah, Meh Sandar Padaku, sedang bersiaran menerusi slot Dahlia, TV3.

Berita Harian X