Ahad, 9 April 2017 | 4:26pm

Akaun Instagram Elly Mazlein kena godam

PENYANYI, Elly Mazlein. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PENYANYI, Elly Mazlein. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Penyanyi Elly Mazlein, 37, mendakwa akaun Instagram miliknya digodam individu tidak bertanggungjawab.

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi terkilan hilang kira-kira 520,000 pengikut laman sosial terbabit yang selama ini menjadi sumber rezekinya.

Memberitahu BH Online, Elly bagaimanapun memaafkan individu yang melakukan perbuatan itu.

"Seramai 520,000 pengikut yang dikumpulkan selama ini hilang sekelip mata. Saya terkilan kerana semua momen indah yang dirakamkan untuk tatapan peminat, sudah tiada.

"Mestilah saya sedih kerana akaun itu turut memuatkan detik peribadi ketika saya hamil dan melahirkan Sefhia. Ia adalah medium untuk saya lebih dekat dengan peminat," katanya.

Elly berkata, banyak aspek berkaitan pengurusan kerjayanya terbantut akibat akaun terbabit digodam.

"Banyak yang terganggu terutama urusan promosi di mana saya terikat dengan kempen Super Karok Kool FM dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0," katanya.

Elly berkata, dia akan tampil dengan akaun Instagram yang baharu.

Berfikiran positif, Elly enggan menjadikan cabaran yang menimpa sebagai bebanan.

"Saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang supaya perkara yang berlaku tidak berulang," katanya.

Berita Harian X