Selasa, 25 April 2017 | 1:53pm

Mira Filzah sedia ke layar perak

ARTIS Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29, Mira Filzah, sudah bersedia untuk mengembangkan bakat lakonannya ke layar perak. - Foto Shiraz Ali
ARTIS Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29, Mira Filzah, sudah bersedia untuk mengembangkan bakat lakonannya ke layar perak. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29, Mira Filzah, sudah bersedia untuk mengembangkan bakat lakonannya ke layar perak.

Selepas tiga tahun membabitkan diri dalam lakonan di televisyen, Mira yang popular dengan drama Cinta Si Wedding Planner berkata, tahun ini beliau sedia untuk menjadi pelakon filem pula.

Beliau mengakui, tawaran untuknya berlakon filem sudah mula diterima sejak tahun lalu lagi.

"Namun ketika itu barangkali Mira belum bersedia untuk ke layar perak. Perasan ragu-ragu masih menebal dalam diri, maklumlah Mira pun masih hijau di pentas lakonan.

"Kalau boleh, Mira tidak mahu tergopoh-gapah berlakon filem. Biarlah Mira kutip pengalaman terlebih dulu dengan berlakon drama atau telefilem.

"Kalau tiada aral melintang, Mira akan memulakan penggambaran sebuah filem selepas Aidilfitri nanti. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai filem berkenaan belum dapat dikongsi," katanya sambil memberitahu, beliau menerima undangan berkenaan kerana terpikat dengan cerita dan watak ditawarkan kepadanya.

Menurut calon awal Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 3.0 ini, masih banyak ruang di arena lakonan yang ingin diteroka olehnya.

"Kepuasan berlakon takkan pernah berakhir. Skop lakonan itu sendiri amat luas kerana kita bukan hanya ada medium TV, malah filem dan teater juga.

"Ikutkan, kira-kira tiga tahun dalam dunia seni, Mira tidaklah banyak sangat berlakon. Drama dan telefilem lakonan Mira noleh dikira dengan jari. Ia bagaimanapun bidang menyeronokkan kerana berlakon membuka ruang bagi Mira mengutip pengalaman baharu apabila sentiasa bekerja dengan orang berbeza.

"Kita akan belajar perkara baharu dalam hidup ini dengan suasana berbeza. Jadi, ilmu dan pengalaman akan sentiasa bertambah," katanya yang mengacarakan program Mahligai Cinta di TV3 tidak lama lagi.

Berita Harian X