Jumaat, 5 Mei 2017 | 5:06pm

Altimet terima komen negatif lagu Amboi

PENYANYI, Altimet. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYANYI, Altimet. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, Altimet, tidak ralat biarpun ada pihak kurang senang dengan single terkini beliau, Amboi, yang semakin mendapat tempat di hati peminat dan mendaki carta lagu popular tempatan.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 39, berkata beliau menerima baik komen negatif yang diberikan kerana baginya, bukan sesuatu yang mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

"Tidak mengapalah kalau lagu Amboi mengundang cemuhan mana-mana pihak kerana begitulah lumrah hidup kita. Bukan semua orang suka pada perkara yang sama, jadi saya terima jika ada yang tidak suka dengan lagu saya.

"Bukan niat untuk memperli atau menempelak sesiapa, sebaliknya lagu itu dicipta dengan melihat gelagat masyarakat di sekeliling saya. Ia bukan saja memberikan nasihat kepada pendengar, malah berperanan sebagai peringatan buat saya juga," katanya kepada BH Online.

Single berjudul Amboi turut dimuatkan dalam terbaru Altimet yang dilancarkan pada 24 November lalu, sempena ulang tahun kelahirannya.

Lagu berkenaan bukan sekadar menarik perhatian peminat dengan iramanya yang cepat melekat di telinga, sebaliknya lirik tulisan Altimet itu juga dilihat sesetengah pihak sebagai memperli mereka.

Sebelum ini Altimet pernah berkata, lirik lagu itu memang khas dicipta untuk golongan wira papan kekunci dan pengguna laman sosial.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Altimet memberitahu, beliau baru saja selesai merakamkan lagu runut bunyi untuk filem KL Wangan. Lagu berkenaan turut menampilkan pelakon, Faizal Hussein dan Pekin Ibrahim.

"Pujian harus diberikan kepada Faizal kerana komitmennya sebagai teraju utama dan penyanyi untuk filem itu. Malah, masa yang diperuntukkan untuk merakamkan lagu KL Wangan hanya beberapa jam.

"Kebetulan, saya juga meminati kereta, jadi lebih mudah untuk saya mencipta lagu bagi filem berkenaan. Insya-Allah, lagu itu akan dilancarkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Altimet juga antara artis yang bakal menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14 Mei ini.

Berita Harian X