Sabtu, 6 Mei 2017 | 1:04am

Bocey juara Maharaja Lawak Mega 2017

KUMPULAN Bocey menjuarai program Maharaja Lawak Mega 2017 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000. - Foto Amran Hamid
KUMPULAN Bocey menjuarai program Maharaja Lawak Mega 2017 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000. - Foto Amran Hamid

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bocey mengulangi kejayaan tahun lalu apabila diumumkan juara program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000.

Bocey yang dianggotai Fad, Achey dan Abam menarik perhatian penonton dan juri tetap dengan komedi bebas dan muzikal yang dipersembahkan mereka.

Pentas akhir MLM 2017 di Dewan Wawasan Jitra, Kedah yang berakhir sebentar tadi, turut menyaksikan kumpulan Shiro muncul naib juara dan menerima hadiah wang tunai RM250,000.

Biarpun sekadar meraih tempat ketiga, satu-satunya peserta solo dari Indonesia, Dzawin berpuas hati dengan hadiah RM150,000 yang dimenangi hasil kerja keras selama 12 minggu dalam program komedi itu.

Tempat keempat dan kelima dimenangi kumpulan Zero dan Puteh yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan RM15,000.

Pentas akhir MLM 2017 diadili juri tetap, Datuk Rosyam Nor, Datuk Aznil Nawawi, Neelofa dan Luna Maya yang mewakili markah sebanyak 70 peratus, manakala selebihnya undian penonton.

Persembahan Syamel dalam segmen penghormatan untuk pelawak yang sudah meninggal dunia menyentuh hati penonton sebelum keputusan penuh diumumkan pengacara, Datuk AC Mizal.

JUARA program Maharaja Lawak Mega 2017, kumpulan Bocey (tengah); naib juara, kumpulan Shiro (kanan) dan tempat ketiga, Dzawin. - Foto Amran Hamid
JUARA program Maharaja Lawak Mega 2017, kumpulan Bocey (tengah); naib juara, kumpulan Shiro (kanan) dan tempat ketiga, Dzawin. - Foto Amran Hamid

Berita Harian X