Isnin, 22 Mei 2017 | 1:19pm

'Panggil saya Abang Nassier'

PENYANYI, Datuk Nassier Wahab. - Foto Osman Adnan
PENYANYI, Datuk Nassier Wahab. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nassier Wahab masih membiasakan diri dengan sapaan kenalan dan peminat yang mula memanggilnya dengan gelaran 'Datuk'.

Namun, penyanyi yang popular dengan lagu Memori Cinta Luka itu lebih selesa disapa 'Abang Nassier' kecuali ketika menghadiri acara rasmi.

"Panggil saya Abang Nassier saja tapi kalau dalam acara rasmi, gelaran 'Datuk' menjadi keperluan. Pada hari-hari biasa, panggil saya macam selalu.

"Dalam kalangan rakan artis termasuk mereka yang bergelar Datuk pula, saya sering diusik Datuk Bongsu. Ini kerana saya adalah artis terbaru yang menerima gelaran itu," katanya kepada BH Online.

Pada 15 Mei lalu, Nassier dianugerahkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Nassier berkata, bagi membiasakan diri, rakan artis yang berpangkat Datuk banyak memberi panduan dan tip dalam menggunakan gelaran itu.

Dalam perkembangan lain, Nassier yang sudah 32 tahun menceburi dunia seni masih aktif memenuhi undangan membuat persembahan.

"Dengan status baru ini, saya tak kekok memenuhi persembahan untuk kenamaan atau golongan Istana. Pengalaman lalu banyak mengajar saya soal protokol dan etika persembahan.

"Sejak bertahun lalu, syarikat saya, Nassier Wahab Production aktif menganjurkan persembahan di hadapan VIP seperti di Kelab Golf Diraja Selangor dan Royal Lake Club," katanya.

Nassier yang juga duta syarikat hartanah DBI Technology, sudah diikat membuat persembahan di Singapura selepas Aidilfitri kelak.

Berita Harian X