Rabu, 14 Jun 2017 | 1:11pm

Dari Instagram ke dunia lakonan

KUALA LUMPUR: Daripada populariti yang diraih hasil perkongsian gambar umpama seorang model di Instagram, kini bakat cilik, Nik Muhammad Adam Mikael Nik Mohd Adli, 7, menarik perhatian peminat menerusi kemunculan di televisyen pula.

Menggunakan nama komersial Nik Adam Mika, pelakon kanak-kanak berkenaan ketika ini menggeletek hati penonton menerusi lakonannya dalam drama Budak Ijat yang ditayangkan di TV3 sejak pertengahan Mei lalu.

Drama terbitan Radius One itu turut menampilkan pelakon Amy Mastura, Azhan Rani, Eyra Hazali, Zaidi Omar, Ieda Moin dan ramai lagi.

Menerusi drama berkenaan, Adam melakonkan watak kanak-kanak yang sentiasa menimbulkan kekecohan dan sarat dengan gelagat menghiburkan.

"Asalnya, Papa yang mewujudkan akaun Instagram dan memuat naik gambar yang dirakam. Dari situ Adam mula diberi peluang untuk menjadi model untuk jenama pakaian kanak-kanak. Kemudian datang pula tawaran untuk berlakon.

"Awal-awal dulu, Adam tidaklah begitu minat untuk berlakon. Tapi selepas terbabit dalam beberapa drama, Adam semakin selesa beraksi di depan kamera," katanya yang pernah menjayakan drama Syurga Tak Sempurna, Suamiku Paling Sweet dan Biar Aku Jadi Penunggu.

Bagi pelakon kecil sepertinya, bidang lakonan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diceburi, apatah lagi dirinya perlu menghafal skrip dan memahami watak.

"Selalunya, Papa (Nik Mohd Adli Nik Azlan, 32) cuba untuk mendapatkan skrip lebih awal supaya Adam dapat membuat persediaan sebelum masuk ke set penggambaran. Papa juga akan membantu untuk memahami skrip dan watak supaya nanti Adam tahu apa yang ingin dilakukan ketika berlakon.

"Sewaktu di set penggambaran juga, Adam mendapat tunjuk ajar daripada pengarah. Jadi, Adam cuba untuk memberikan lakonan yang terbaik.

"Walaupun penat kerana penggambaran selalu mengambil masa yang lama, Adam cuba untuk tidak menunjukkannya. Malah, Papa selalu berpesan supaya Adam berlakon dengan baik agar selepas ini produksi akan panggil Adam lagi," katanya yang tetap mengutamakan persekolahan walaupun sudah bergelar pelakon.

Jika tidak terbabit dengan penggambaran, katanya, selain menonton program kartun di rumah, dia suka bermain di taman permainan dengan rakan sebaya yang lain.

Berita Harian X