Jumaat, 16 Jun 2017 | 2:54pm
SHIMA Anuar pada majlis perlancaran Laku Mall. - Foto Saifullizan Tamadi
SHIMA Anuar pada majlis perlancaran Laku Mall. - Foto Saifullizan Tamadi

Shima Anuar hamil dua bulan

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Highland Tower, Shima Anuar, berkongsi berita gembira dirinya disahkan hamil dua bulan.

Aktres itu turut memberitahu, beliau berdepan alahan teruk pada peringkat awal kehamilannya.

Shima atau nama sebenarnya Noor Hashimah Anuar, 26, berkata beliau dan suami tidak merancang dalam soal cahaya mata, namun sememangnya menantikan rezeki untuk menambah ahli keluarga secepat mungkin.

"Saya pada mulanya melakukan sendiri ujian kehamilan di rumah, namun keputusannya negatif. Begitupun selepas dua minggu, ia bertukar menjadi positif. Saya kemudian ke hospital untuk mendapatkan pengesahan daripada doktor pula.

"Tidak lama selepas itu, saya dan suami turut berjumpa doktor pakar bagi mendapatkan nasihat lebih lanjut mengenai kandungan.

"Alahan kehamilan pertama ini juga sangat teruk sehingga membuatkan saya jadi lemah dan terbaring saja. Semua makanan yang saya makan pula akan keluar semula, malah minum air pun membuatkan saya muntah," katanya ketika dihubungi BH Online.

Berikutan keadaannya itu, menurut Shima, banyak aktiviti dan kegiatan seninya tergendala kerana beliau mengambil keputusan untuk berehat saja di rumah.

Pelakon filem Tujuh Petala Cinta itu berkata, alahan ketika hamil semakin berkurangan apabila kandungan memasuki usia dua bulan.

Shima mendirikan rumah tangga dengan Mohd Solih Toha, 41, yang juga duda kepada dua cahaya mata, pada 8 April lalu.

Berita Harian X