Khamis, 22 Jun 2017 | 1:06pm

Khai tolak undangan nyanyian pada Hari Raya

PENYANYI, Khai Bahar hadir pada Pelancaran Metro TV di Glasshouse, Seputeh. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Khai Bahar hadir pada Pelancaran Metro TV di Glasshouse, Seputeh. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Khai Bahar, menolak secara baik undangan mengadakan persembahan pada Hari Raya.

Beliau berkata, cuti Aidilfitri ini ingin digunakannya sebaik mungkin dengan beraya sakan bersama keluarga tercinta.

Selepas penat bekerja, Khai yang juga pemenang trofi Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH edisi ke-30 itu berkata, sambutan lebaran lebih bermakna apabila beliau dapat berkumpul dengan insan tersayang, sekali gus merapatkan ikatan ukhuwah sesama mereka.

"Jika diikutkan, ada tawaran untuk saya mengadakan persembahan pada Hari Raya kedua. Begitupun, saya memilih untuk tidak menerimanya. Sesekali beraya, saya mahu meraikan detik indah ini bersama keluarga.

"Waktu berkualiti bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara itu lebih bermakna pada hari mulia. Saya juga menganggap cuti raya ini sebagai ruang untuk berehat selepas sekian lama bekerja," katanya yang pulang ke kampung halaman di Kangar, Perlis, sejak 20 Jun.

Hari Raya kali ini turut menyuntik perasaan berbeza buat Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharudin, 23, apabila dirinya tampil bersama lagu raya sendiri berjudul Salam Syawal.

"Saya memang teruja dan berasakan suasana sambutan raya tahun ini agak berbeza. Selama ini, semarak raya dirasai dengan mendengar lagu raya dendangan orang lain.

"Tahun ini, saya sudah mempunyai lagu raya sendiri. Ia menjadi kenangan indah untuk saya kerana biarpun masih 'hijau' dalam persada seni, saya sudah pun diberikan peluang merakamkan lagu raya sendiri," katanya.

Khai, yang cukup popular dengan lagu Bayang, turut menganggap karya dirakamnya itu sebagai naskhah yang unik.

"Sekali dengar, mungkin kita tidak terfikir ia sebuah lagu raya. Single ini mempunyai campuran melodi zaman 1990-an dan 'mood' raya. Ia sesuatu yang baharu dalam dunia muzik kita," katanya.

Pemuda ini juga memberitahu, beliau kini dalam perancangan untuk menghasilkan album penuh.

"Ketika ini, sudah ada empat lagu yang siap dirakam. Saya difahamkan, pihak pengurusan mahu menghasilkan album penuh, justeru lagu terbabit belum diperkenalkan kepada orang ramai. Mungkin tujuh lagu bakal dimuatkan dalam album berkenaan," katanya.

Berita Harian X