Ahad, 16 Julai 2017 | 3:18pm
KENANGAN Adifashla bersama Datuk Aznil Nawawi.
ADIFASHLA bersama rakan seperjuangannya dalam dunia radio.

'Selamat tinggal Era'


ADIFASHLA mengucapkan selamat tinggal kepada Era FM secara rasmi pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun berkhidmat bersama Era FM, bekas bintang Akademi Fantasia musim pertama, Adifashla Juraimi, mengucapkan selamat tinggal kepada stesen radio berkenaan secara rasmi, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Adifashla belum meninggalkan dunia penyiaran apabila masih bertugas dengan Sinar FM.

Bahkan, penyampai itu sudah bersiaran bersama stesen terbabit sejak Januari lalu menggantikan Feeya Iskandar yang cuti bersalin.

"Saya hanya mengucapkan selamat tinggal kepada Era, bukanlah dunia radio. Buat sementara ini, saya bertugas sebagai penyampai radio Sinar FM. Saya mengendalikan segmen carta lagu pada hujung minggu bersama Linda Onn.

"Pada masa sama, saya masih menjadi penyampai di Astro Arena. Selain itu, saya juga mahu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan iaitu dalam bidang pembinaan," katanya.

Menurut Adifashla, tempoh 10 tahun itu berguna untuk dirinya menimba pengalaman dalam dunia penyiaran.

"Ikutkan, dalam dunia radio ada tiga kitaran. Setiap tiga tahun, akan ada proses penambahbaikan sama ada penyampai radio itu kekal di stesen radio sama atau bertukar segmen kendalian, contohnya. Kiranya, sepanjang tempoh berkenaan di Era, saya sudah pun melalui tiga kitaran.

"Sedekad di radio berkenaan juga menjadikan saya penyampai pertama yang kekal bertahan lama. Saya ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan dan teman penyampai yang sama-sama menaikkan nama radio terbabit. Kenangan manis bersama takkan saya lupakan," katanya.

Sebelum menyertai Era pada 13 Februari 2008, Adifashla terlebih dulu bertugas di stesen radio X-Fresh FM.

1398 dibaca
Berita Harian X