Ahad, 28 September 2014 | 9:43am
YASMIN (baju putih) melancarkan kempen jualan dalam talian. - Foto Nurul Shafina Jemenon
YASMIN (baju putih) melancarkan kempen jualan dalam talian. - Foto Nurul Shafina Jemenon

#MyCyberSale terokai Asia Tenggara

PERBADANAN Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) menerusi inisiatif Digital Malaysia akan mengadakan jualan dalam talian iaitu #MyCyberSale yang menawarkan diskaun sehingga 90 peratus.

Program jualan atas talian yang diadakan dalam tempoh tiga hari dari 29 September hingga 1 Oktober itu memberi peluang kepada pengguna memilih 225,000 tawaran membabitkan 4,500 usahawan tempatan dan luar negara. Jualan itu meliputi pelbagai barangan daripada tiket penerbangan hingga kepada fesyen dan barangan elektronik.

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata program itu berfungsi sebagai pemangkin untuk membangunkan perdagangan elektronik (e-dagang) dan memupuk budaya membeli-belah secara atas talian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tingkat bilangan pengguna telefon pintar

"Kempen ini adalah satu inisiatif bagi meningkatkan jumlah pengguna sedia ada daripada 19.8 juta yang mewakili 66 peratus populasi di negara ini, sekali gus mengembangkan pengguna telefon pintar dalam kalangan pengguna tempatan.

"Pihak kami juga menjangkakan 100,000 pembeli akan mengunjungi laman sesawang mycybersale apabila promosi jualan bermula," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata, MDeC ingin menjadikan #MyCyberSale sebagai medan untuk memasarkan produk ke peringkat Asia Tenggara menerusi Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang akan diterajui Malaysia tahun depan.

"Ini adalah peluang kepada kita untuk menjadi pemangkin kepada perniagaan e-dagang di negara ini kerana 66 peratus rakyat Malaysia sudah menggunakan beberapa bentuk perniagaan atas talian.

RM72.3b menjelang 2015

"Malah, industri ini dilihat sebagai satu pembangunan ekosistem yang semakin kuat dan dijangka menyumbang sebanyak RM72.3 bilion menjelang tahun 2015," katanya.

Inisiatif itu juga mendapat kerjasama pemain industri iaitu Astro Radio, CIMB Group Holdings Berhad, LINE, Pos Malaysia dan Telekom Malaysia (TM) serta disokong oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dan Persatuan e-dagang Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai program ini, boleh layari www.mycybersale.my.

Berita Harian X