Jumaat, 6 March 2015 | 5:53pm
NEC Corp of Malaysia Sdn Bhd
NEC Corp of Malaysia Sdn Bhd

NEC sedia penyelesaian runcit GST

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan teknologi maklumat, NEC Corp of Malaysia Sdn Bhd, menerima sambutan menggalakkan bagi sistem 'Retail-in-a-Box', penyelesaian untuk membantu peruncit mengesan jualan mereka bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Seorang jurucakap berkata, syarikat itu sedang mengedar penyelesaian itu berdasarkan pesanan yang dibuat melalui pengedar tempatannya, Dancom.

Penyelesaian itu sesuai untuk perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan bantuan dengan pengiraan sistem baharu itu dan kaedah untuk memasukkan GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April ini.

"Terdapat permintaan besar daripada sektor makanan dan minuman, terutamanya di sini, Pulau Pinang dan Johor Baharu yang mempunyai lebih banyak cawangan berbanding negeri lain yang ketika ini menggunakan daftar tunai manual," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Andrew Lee, berkata PKS mampu untuk membeli sistem itu melalui langganan bulanan dan pembayaran sekali sahaja.

"Ia akan memberi manfaat kepada kedai-kedai runcit, pengusaha makanan dan minuman serta rangkaian kedai yang memerlukan penyelesaian yang kemas dan mudah serta berupaya mengautomasi proses pengesanan jualan dan memenuhi kehendak GST," katanya.

Lee berkata penyelesaian runcit semua-dalam-satu itu direka untuk pemasangan sendiri dan ia adalah mudah yang merangkumi sistem perkakasan mata jualan modular dan perisian pengurusan runcit NEC serta sebuah monitor dan pencetak resit.

"Penyelenggaraannya adalah rendah dan boleh dinaik taraf mengikut keperluan perniagaan.

"Pelanggan boleh memilih model langganan semua-dalam-satu itu secara langganan bulanan tanpa sebarang bayaran pendahuluan atau membuat pembayaran sekali sahaja," katanya.

Penyelesaian itu boleh didapati di seluruh negara melalui rangkaian Dancom dengan 11 cawangan dan memberi perkhidmatan kepada 5,000 peniaga. - BERNAMA

Berita Harian X