Sabtu, 30 Januari 2016 | 8:16am

Samsung lancar Siri Galaxy A

BENN Lee menunjukkan Siri Galaxy A pada majlis pelancaran telefon pintar itu di Petaling Jaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon
BENN Lee menunjukkan Siri Galaxy A pada majlis pelancaran telefon pintar itu di Petaling Jaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SAMSUNG Malaysia Electronics optimis segmen jualan telefon pintarnya masih kukuh tahun ini, meskipun keadaan ekonomi diunjur kurang memberangsangkan.

Pengurus Produk Telefon Mudah Alihnya, Go Benn Lee, berkata ramai orang masih mahu membeli telefon baharu kerana kitaran pembelian kini lebih pendek daripada dua tahun sebelum ini kepada satu tahun setengah.

"Orang ramai masih mahu menukar telefon pintar apabila sudah tiba masanya. Kami berharap pengenalan Siri Galaxy A baharu ini adalah tepat pada waktunya yang mana orang ramai perlu menukar telefon pintar mereka.

"Kami sentiasa melihat (prospek) dengan positif dan berharap 2016 akan menjadi sebaik 2015 atau lebih baik," katanya ditemui selepas majlis pelancaran telefon pintar Siri Galaxy A 2016 di Petaling Jaya, kelmarin.

Siri Galaxy A didatangkan dengan memori yang terbina di dalam telefon pintar sebanyak 16 GB dan slot kad mikroSD sehingga 128 GB bagi memori luar.

Telefon pintar itu mempunyai tiga varian, dengan A7 mempunyai skrin sebesar 5.5 inci, A5 (5.2 inci) dan A3 (4.7 inci).

Teknologi terkini

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pengubahsuaian telefon pintar dan memperkenalkan teknologi terkini seperti yang dimaklumkan oleh sebelum ini.

Mengenai telefon pintar baharu itu, Benn Lee berkata, pihaknya banyak melakukan penambahbaikan terhadap telefon pintar berkenaan dari segi kamera, memori dan bateri.

Berita Harian X