Khamis, 19 April 2018 | 10:03am
Rico Rinaldi baju melayu Zakaria (kiri) dan Kurta Ayyub

46 koleksi busana sempena Summeraya 2018

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal Rico Rinaldi memperkenalkan 46 rekaan sempena koleksi Summeraya 2018 untuk digayakan sempena Aidilfitri tahun ini.

Rekaan itu membabitkan koleksi Summeraya dalam skala paling besar untuk Ready-To-Wear (RTW), Bespoke dan Pre-Ramadan.

"Summeraya 2018 diambil inspirasi daripada nama baik dalam Islam. Nama bidadari dan bunga dalam taman syurga menjadi simbolik busana indah Aidilfitri tahun ini.

"Antara nama yang dipilih untuk mewakili setiap rekaan seperti Abeer (harum/wangi), Eshal (bunga syurga), Naurah (bunga), Razita (bunga) dan Rayhan (bau yang harum).

"Koleksi mengekalkan sentuhan sopan dan moden dalam siluet tradisional seperti kurung Kedah. Setiap busana mempunyai karakter masing-masing dan signatur tersendiri," katanya selepas pertunjukan fesyennya, baru-baru ini di ibu kota.

Koleksi itu lebih ringkas, menekankan perincian unik mengikut aliran semasa iaitu ikatan riben dan sedikit sentuhan couture.

Rico memilih warna pastel dan lembut melatari Summeraya 2018. Fabrik digunakan daripada sifon, satin bercorak, krep dan kapas linen.

Sebanyak 20 rekaan RTW, 12 Bespoke dan 10 rekaan Pre-Ramadan Wanita dan empat koleksi Pre-Ramadan Lelaki diperkenalkan sempena Aidilfitri tahun ini.

"Rekaan baju Melayu moden khas dengan poket dan tanpa butang mudah digayakan dalam majlis kasual atau formal.

Rico turut memperkenalkan Neelofa sebagai Face of Summeraya 2018, dipilih berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang diraih sepanjang lapan tahun bergelar anak seni.

Berita Harian X