Isnin, 11 Jun 2018 | 10:03pm

Nurul Zuriantie mahu hapus persepsi wanita bertudung kolot

KUALA LUMPUR: Memiliki perwatakan muslimah, Nurul Zuriantie Shamsul, 20, memecah monopoli sebagai wanita pertama berhijab melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan Miss Universe New Zealand (MUNZ) 2018.

Anak tempatan dilahirkan di Ampang, Selangor dan dibesarkan di New Zealand sejak berusia lima tahun itu mengatasi 100 penyertaan awal dan dinobat 50 peserta terbaik.

Kini beliau disenarai antara 20 finalis untuk berentap merebut gelaran ratu cantik dalam pertandingan di Auckland Skycity, New Zealand pada 4 Ogos depan, yang akan disiarkan secara langsung di saluran BRAVO dan dalam talian menerusi laman web Miss Universe New Zealand.

FINALIS Ratu Cantik New Zealand 2018 (MUNZ), Nurul Zuriantie Shamsul.

Anak kepada pasangan Shamsul Ahmad, iaitu rakyat Malaysia yang berhijrah ke New Zealand dan Ohan Anie Ediy berasal Indonesia itu mengakui semangat dan keterbukaan membantu untuk menempatkannya sebagai finalis dalam MUNZ 2018.

"Ia menjadikan saya wanita berhijab pertama di New Zealand dan dunia yang menyertai pertandingan ratu cantik, selain wanita Melayu pertama yang bersaing dalam pertandingan ini.

"Saya begitu optimis untuk menyertai pertandingan ratu cantik ini bagi memberi semangat kepada wanita lain untuk yakin dalam kehidupan ini," katanya kepada BH.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, menyarungkan hijab pada pertandingan ratu cantik itu nanti diharapkan dapat menggalakkan wanita Islam lebih yakin dan bangga memakai tudung dalam apa juga keadaan.

"Saya berharap penyertaan saya memecahkan halangan bagi wanita yang bergelut dengan pendirian memakai tudung dan persepsi mereka tidak akan diterima dalam masyarakat Barat atas anggapan kolot jika bertudung," katanya.

Beliau berkata, hasrat menyertai pertandingan ratu cantik bermula sebaik beliau melihat rancangan ratu cantik dunia peringkat akhir di televisyen pada September tahun lalu.

NURUL Zuriantie Shamsul anak tempatan dilahirkan di Ampang, Selangor dan dibesarkan di New Zealand sejak berusia lima tahun.

Hantar permohonan secara atas talian

"Saya tekad memohon menyertainya menerusi dalam talian yang memerlukan saya menghantar gambar profil berserta jawapan kepada beberapa soalan diberikan penganjur.

"Pada peringkat awal, ada 100 penyertaan dan hanya separuh daripada itu terpilih untuk ke peringkat separuh akhir. Kemudian, finalis separuh akhir dipanggil menyertai kem Stilletto, yang mana kami ditemubual juri, dilatih catwalk, sesi fotografi dan video.

"Selepas kem itu, 20 finalis diumumkan secara langsung menerusi Facebook dan Youtube," katanya.

Beliau berkata, sebaik terpilih sebagai finalis, baru beliau memberitahu rakan dan orang sekelilingnya.

"Pada awalnya, saya hanya beritahu keluarga dan rakan baik. Syukur, setakat ini semua menyokong hasrat saya sepanjang penyertaan berlangsung. Saya baca semua komen di laman sosial dan masyarakat memberikan maklum balas positif dengan kata perangsang dan sokongan," katanya.

HIJAB tidak menghalang Nurul Zuriantie Shamsul menyertai pertandingan ratu cantik.

Pada peringkat akhir nanti, beliau akan menyarungkan sepasang gaun moden dari pereka Filipina Sidney Eculla.

"Antara tugasan akhir nanti adalah persembahan fesyen dan finalis perlu menjawab beberapa soalan umum daripada juri

"Sebagai persediaan, saya makan seperti biasa tetapi dalam jumlah yang sederhana. Melakukan senaman dan banyak makan sayur dan buah. Saya tidak mengambil sebarang ubat dan pil untuk kekal langsing," katanya.

Perintis global wanita Muslim

Katanya, beliau bangga menjadi wanita bertudung pertama ke peringkat akhir pertandingan ratu ini, sekali gus menjadi perintis kepada wanita Muslim di tahap global.

"Peluang seumpama ini diharap dapat memecah halangan, sempadan dan stereotaip wanita di seluruh dunia, malah ia juga diharap dapat menterjemah semula erti kecantikan sebenar.

"Saya selalu tertarik melihat kecantikan menerusi budaya berbeza di dunia ini. Saya ingin mendefinisikan semula maksud kecantikan dengan wanita lain di seluruh dunia kerana sebelum ini kita terpalit dengan keindahan wanita Barat semata-mata," katanya.

Penuntut University of Waikato dalam bidang psikologi dan minor dalam dasar sosial ini, berkata menerusi penyertaannya itu erti sebenar kecantikan dapat digambarkan dengan betul dan tidak hanya terhad kepada paras rupa dan figura tubuh semata-mata.

Katanya, sebagai umat Islam, dia tetap mengutamakan kepercayaannya walaupun menyertai pertandingan ratu cantik itu.

Nurul Zuriantie berkata, pertandingan ratu cantik tidak memerlukan beliau memakai pakaian seksi atau bikini kerana sejak 2012, tiada acara menayangkan tubuh dengan bikini.

NURUL Zuriantie Shamsul disenarai antara 20 finalis untuk berentap merebut gelaran ratu cantik dalam pertandingan di Auckland Skycity, New Zealand pada 4 Ogos depan.

Berat badan bukan kriteria

Katanya, berat badan juga bukan kriteria dalam pertandingan itu dan finalis tidak diukur menerusi berat dan ketinggian, malah beliau memilih apa saja jenis pakaian ketika sesi fotografi berlangsung.

"Jika ada rezeki saya menang pertandingan ini, perancangan utama saya adalah menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam psikologi komuniti dan melalui hidup seperti biasa.

"Saya berminat membantu masyarakat dan memperkasakan wanita berhijab di seluruh dunia, namun jika ada peluang lain datang selepas penyertaan ini, mungkin saya akan pertimbangkan," katanya yang akan melakukan yang terbaik dalam pertandingan itu.

Berita Harian X