Jumaat, 27 Julai 2018 | 9:06am
Produk kraf tangan dari Sabah. - Foto Supian Ahmad

Kraf tangan tempatan berpotensi masuk pasaran luar

KUALA LUMPUR: Produk kraf tangan tradisional tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa sekiranya mempunyai landasan pemasaran dan penghasilan material bersesuaian dengan cita rasa semasa.

Justeru, penghasilan produk seni dan kraf tangan tempatan perlu lebih unik, kreatif dan mengekalkan keaslian, tetapi kontemporari sejajar dengan aliran semasa.

Pengarah Lawabana Sdn Bhd, Datin Seri Norazlina Awang Had, berkata jika dibanding dengan pengguna tempatan, masyarakat di Eropah, umpamanya lebih menghargai produk seni kraf tangan tradisional dan berkaitan warisan budaya.

"Contohnya, di Eropah koleksi beg raga menjadi aliran fesyen gaya untuk musim panas kerana nilai kreativitinya. Tidak mustahil kita juga mampu mencetus aliran global menerusi produk tempatan.

"Oleh itu, kami mahu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kualiti dan kreativiti seni kraf tangan tradisional

"Kita akan menghimpunkan barisan artis terbaik dan akan turun padang mencari pengusaha kraftangan tempatan berpotensi bagi merealisasikan objektif itu," katanya.


Lukisan antara dilelong pada majlis pelancaran portal

Bawah satu bumbung

Beliau berkata demikian selepas melancarkan portal beli-belah, iaitu Roomaku sebagai platform e-dagang memasarkan produk seni tangan dihasilkan artis tempatan di seluruh negara.

Pada majlis itu, pihaknya turut mengutip RM25,975 menerusi sesi membida menerusi kraf tangan karya 10 artis Roomaku dan disumbangkan kepada Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun.

Beliau berkata, platform e-dagang itu juga menjadi medium usahawan kraf tempatan untuk berkongsi pengalaman mengenai kraf dan budaya di antara satu sama lain.

Sehingga ini, Roomaku disertai 24 artis dari Terengganu, Pahang, Kedah dan Sabah terdiri daripada produk kreatif seperti lukisan, anyaman bakul, batik, sulaman dan arca.

"Platform itu bertujuan memelihara seni dan kraf tangan, sekali gus memberi bimbingan dari sudut pemasaran, pameran dan publisiti bagi membawa produk tempatan ke pasaran global.

"Inisiatif ini membantu artis tempatan memasarkan produk kraftangan di bawah satu bumbung menggunakan kelebihan e-dagang sebagai salah kaedah pemasaran dan jualan semasa," katanya.

Himpun karya kraf tangan

Antara artis muda yang menjual produk di portal itu ialah, anak autism, Wan Jamilah Wan Saiful Bahri, 16, yang menjual 55 lukisan kreatifnya dalam tempoh setahun.

"Kami ingin mengubah nasib dan persepsi masyarakat mengenai industri kraf tangan tradisional yang semakin dipandang sepi.

"Menerusi platform ini, kami mahu menghimpun dan melahirkan lebih ramai artis seni kraf tangan tradisional dengan memberi peluang untuk mereka mengetengahkan hasil seni menggunakan kelebihan e-dagang," katanya.

Produk seni dan kraf tangan tempatan mempunyai nilai dan keunikan tersendiri, sekiranya ia dikemas kini mengikut permintaan aliran semasa.

Berita Harian X