Sabtu, 28 Julai 2018 | 11:01am
LEELA bersama Abu Bakar merasmikan majlis pelancaran laman web Asean Lifestyle Week 2018 (ALW 2018),

Industri batik tempatan perlu sentuhan global

KUALA LUMPUR: Industri batik tempatan masih sukar menembusi pasaran antarabangsa walaupun pelbagai saluran disediakan kerajaan untuk mengetengahkannya.

Ini berikutan kurangnya daya kreatif pengusaha dalam menghasilkan rekaan inovatif, selain gagal memberikan sentuhan bertaraf global.

Setakat ini, batik hanya berlegar di pasaran tempatan dengan permintaan mengikut musim selain terpaksa berdepan saingan dari luar seperti China dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Mohd Ali, berkata di sebalik pelbagai usaha membawa batik, pasarannya jelas masih kurang maju untuk ke peringkat antarabangsa.

"Kita pernah bawa seorang pereka batik ke pertunjukan fesyen di Milan, Itali tetapi setakat di situ saja tanpa sebarang perkembangan.

"Impian kita lebih besar iaitu menjadikan batik mempunyai kesinambungan produk gaya hidup lain selain pakaian seperti cenderamata dan perabot yang memenuhi keperluan pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran laman web ASEAN Lifestyle Week 2018 (ALW 2018), www.aseanlifestyleweek.com di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah, Gaya hidup dan Seksyen Sains Kehidupan MATRADE, Abu Bakar Yusof.

Leela berkata, pihaknya sudah berbincang dengan MATRADE untuk meningkatkan pasaran menerusi rekaan bagi memenuhi pasaran semasa.

ALW 2018 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 sehingga 9 September depan bakal disertai kira-kira 150 usahawan industri kecil dan sederhana tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Singapura, Filipina, India selain Perancis dan Sepanyol yang turut menunjukkan minat menyertainya.

Acara yang julung kali diadakan itu diharap menjadi platform kepada usahawan tempatan termasuk batik untuk memperkenalkan produk masing-masing ke peringkat antarabangsa, selain menjadikan bandar raya ini sebagai hab gaya hidup di Asia.

Program dianjurkan sempena Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon, anjuran Penyayang dan Batik Malaysia di bawah naungan mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, batik berpeluang menembusi pasaran antarabangsa kerana turut diminati pereka luar negara.

"Sebagai bukti, seorang pereka dari Perancis sanggup datang ke negara ini selama sebulan semata-mata mahu mencari rakan kongsi berpotensi untuk menghasilkan produk bermotifkan batik.

"Batik perlu melalui proses transformasi bagi memenuhi cita rasa pereka luar. Matrade Matrade mempunyai saluran serta dana bertujuan membantu usahawan mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa," katanya.

Sektor gaya hidup berkembang di negara ini dengan nilai pasaran luas dengan kira-kira 630 juta penduduk di seluruh dunia.

Pada 2017, jumlah eksport negara bagi produk gaya hidup mencecah RM39.18 bilion, iaitu meningkat 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Abu Bakar berkata, eksport utama negara termasuk tekstil, pakaian dan kayu meningkat 10.4 peratus (RM15.33 bilion) diikuti perabot yang merekodkan pertumbuhan 6.4 peratus (10.14 bilion).

Negara eksport utama bagi sektor gaya hidup adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Jepun dan Australia.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, jumlah eksport sudah mencecah RM15.42 bilion.

"Negara mengeksport sebanyak RM10.36 bilion produk gaya hidup ke negara ASEAN pada 2017 dengan pertumbuhan 9.5 peratus berbanding 2016.

"Singapura kekal menjadi destinasi eksport utama dengan nilai RM5.57 bilion diikuti Thailand dan Indonesia dengan RM1.38 bilion dan RM1.18 bilion manakala bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, negara mengeksport sejumlah RM4.21 bilion," katanya.

Berita Harian X