Selasa, 31 Julai 2018 | 2:35pm

Kilauan Swarovski sempena musim luruh

Pengeluar aksesori kristal terkemuka dunia, Swarovski terus menyerlahkan kilauannya menerusi koleksi baharu, iaitu Crystal Tales dan Atelier Swarovski sempena meraikan musim luruh tahun ini.

Jenama yang mula bertapak di Austria sejak 1895, tampil dengan koleksi mewah iaitu cincin, loket, rantai, gelang tangan dan anting-anting asimetrik pelbagai motif yang diperbuat daripada batu kristal Pointiage.

Pengarah Kreatifnya, Nathalie Colin, berkata setiap musim Swarovski memartabatkan wanita menerusi kilauan perhiasan diri menerusi pelbagai koleksi dengan penceritaan baru.

Katanya, kebanyakan wanita mahu tampil dengan gaya feminin dan anggun mengikut cara tersendiri.

"Sebilangan anggun dengan busana cantik dan solekan, malah ada tampil menonjol memakai set barang kemas untuk kelihatan lebih mempesonakan.

"Oleh itu, Swarovski berperanan menyerlahkan keanggunan wanita dengan persekitaran dan semangat baru apabila tubuh mereka dihiasi kilauan Cyrstal Tales menerusi bergaya vintaj glamor, " katanya.

Semua koleksi membawa falsafah 'Brilliance for All' bagi menyerlahkan personaliti unik wanita.

Koleksi Cyrstal Tales, menampilkan keindahan warna palet yang kaya dengan rona merah keemasan dengan campuran logam emas bersama kristal Swarovski.

Reka bentuk lebih moden dan bergaya diperindahkan dengan batu permata biru, saphire berwarna merah hati dan zamrud bagi menyuntik semangat seri wanita.

Colin berkata, inspirasi menghasilkan koleksi Crystal Tales tercetus daripada keindahan terdapat di dalam hutan mistik yang penuh dengan flora dan fauna.

Koleksi eksklusif itu menampilkan lebih 1.2 juta kepingan batu kristal mewah dengan ribuan rona jet kristal, jet hemtatite dan opal sintetik Swarovski.

Bagi koleksi Atelier Swarovski pula menampilkan lapan potong spektrum yang halus dengan penggunaan kristal merah jambu dan permata bagi melambangkan kebijaksanaan dan kekayaan.

Berita Harian X