Ahad, 12 Ogos 2018 | 11:45am
NORI menunjukkan sebahagian produk dihasilkan usahawan PKS tempatan pada majlis pelancaran ALW 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Buka mata, hargai keunikan batik tempatan - Nori

SERI KEMBANGAN: “Jangan tunggu orang luar puji batik kita dahulu, baharu hendak membuka mata dan menghargai keunikannya”, kata Pengerusi Yayasan Budi Penyayang (Penyayang), Nori Abdullah.

Beliau yang mewarisi perjuangan ibunya, Allahyarham Tun Endon Mahmood, menyeru supaya sikap itu dikikis jika mahu seni kraf tempatan terus relevan sebagai khazanah warisan negara.

Katanya, usaha mempromosikan batik ke luar negara perlu dipergiatkan menerusi kerjasama pengusaha dan agensi kerajaan yang terbabit dan tidak hanya sekadar mengadakan pertunjukan fesyen di pentas dunia.

“Sudah menjadi resam masyarakat kita yang lebih suka terikut-ikut aliran fesyen luar negara sedangkan industri kraf seperti batik tempatan memiliki keindahan tersendiri.

“Mengapa tidak kita mengangkat batik ke mata dunia dengan menterjemahkannya dalam pelbagai produk kraf yang memenuhi keperluan atau gaya hidup masa kini?” katanya.

Nori ditemui pada majlis pelancaran ASEAN Lifestyle Week (ALW) 2018 di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela

Mohd Ali dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia, Kementerian Luar (AMNS), Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.

Nori berkata, industri batik memiliki potensi untuk maju termasuk mampu menjana ekonomi negara dan pastinya kepada pengusaha meliputi pereka dan peniaga.

Kini, industri batik bukan sahaja diceburi dan dikuasai orang Melayu, malah pelbagai bangsa berikutan keunikan seninya yang tersendiri.

Mampu berkembang pesat

“Industri ini mampu berkembang dengan lebih pesat sekiranya pengusaha lebih kreatif dengan menyuntik inovasi baharu tanpa mengetepikan ciri tradisional batik itu sendiri.

“Selain itu, kemahiran mempromosikan ciri warisan yang sinonim dengan negara kita diperlukan dalam mendepani cabaran meletakkan batik pada tahap global,” katanya.

Nori yang juga anak perempuan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Endon (yang meninggal dunia akibat kanser pada 2005), berharap kerajaan terus menyokong industri batik.

Katanya, dengan pelbagai program sedia ada dan ditambah baik dari semasa ke semasa, ia memberi peluang dan laluan industri itu menembusi pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Leela menggalakkan usahawan terus memberi sokongan dengan menyertai ALW, selain merebut peluang memperkenalkan produk masing-masing di rantau ini.

“ALW 2018 bakal mempamerkan produk perusahaan kecil sederhana (PKS) berkaitan gaya hidup sihat, iaitu usahawan kita perlu meraih peluang ini untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.

Platform usahawan tempatan

“Acara yang julung kali diadakan itu diharap menjadi platform kepada usahawan tempatan termasuk batik untuk memperkenalkan produk masing-masing ke peringkat antarabangsa, selain menjadikan bandar raya ini sebagai hub gaya hidup di Asia,” katanya.

ALW 2018 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 sehingga 9 September ini, akan disertai 150 usahawan PKS tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Singapura, Filipina, India selain Perancis dan Sepanyol.

Program itu dianjurkan sempena Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon, anjuran Penyayang dan Batik Malaysia di bawah naungan mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan AMNS.

Berita Harian X