Ahad, 31 March 2019 | 10:00am
KUALA LUMPUR 07 APRIL 2018. (FOR ZUBIR KEMBARA BH) Menjelajah Kuala Lumpur menaiki bas persiaran KL Hop On Hop Off (KL HOHO). NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Peraga fesyen tradisional dalam bas

Kuala Lumpur: Pelbagai usaha kreatif dilakukan bertujuan memperkenalkan keunikan rekaan tradisional tempatan untuk tontonan semua terutama pelancong asing, termasuk menganjurkan pertunjukan fesyen di atas bas.

Inisiatif Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra atau Bumiputra Designers Association (BDA) merealisasikan usaha itu, dengan memperagakan pakaian di atas bas pelancong Hop On Hop Off (HoHo), sepanjang April ini.

Presiden BDA, Bon Zainal berkata, program bertemakan Fashion Ride, buat julung kalinya dianjurkan memberi suntikan motivasi kepada pereka tempatan, untuk terus mengilhamkan sesuatu yang istimewa bagi tatapan semua.

Beliau berkata, fesyen dan pelancongan dilihat sebagai kombinasi lengkap, saling memperkasakan kedua-dua industri berkenaan.

Katanya, pelancong berpeluang melihat sendiri keunikan fesyen tempatan yang juga antara produk pelancongan terbaik, sambil menyaksikan keindahan ibu kota ketika menggunakan pengangkutan pelancongan eksklusif HoHo.

40 laluan Hop On Hop Off

“Memiliki lebih 40 laluan tarikan pelancong sekitar di Kuala Lumpur, pada masa sama mereka menghabiskan masa menyaksikan rekaan tempatan.

“Pertunjukan busana tradisional seperti seni batik dengan rekaan baju kurung dan kebaya, pastinya meninggalkan kenangan manis sepanjang kunjungan mereka ke sini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di ibu negara, baru-baru ini.


Pereka fesyen, Bon Zainal (tengah) pada sidang media program HO HO terkini Fahion Ride di Matic. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif HO Ho, Azhar Nadzir (kanan) dan Zulfathie Amin. - Foto Rohanis Shukri

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif HoHo, Azhar Nadzir dan Pengarah Pelaburan Eksekutif Kumpulan RESTU AG, iaitu anak syarikat restoran [email protected], Zulfathie Amin Zulkifli Amin.

Bon berkata, penganjuran disertai 25 pereka fesyen tempatan, antaranya Adamaya oleh Datin Sharifah Shawati; Houda Hijab; Masterpiece by Masrina Abdullah; Batek by Rasta Rashid; Fashion Talent; DIMU/Munir Yahya dan Yans Creations.

Antara koleksi dipersembahkan, termasuk seni batik, rekaan kurung dan cheongsam.

Kelengkapan busana seperti tudung serta produk kosmetik daripada pengusaha tempatan turut dipamerkan.

Bon berkata, penganjur mengharapkan usaha ini menjadi platform terbaik kepada pereka fesyen tempatan, menembusi pasaran antarabangsa.

Koleksi berkonsepkan kasual, santai, formal dan tradisional bersesuaian cita rasa global.

“Biasanya acara fesyen diadakan secara tertutup di dalam bangunan seperti hotel serta pusat beli-belah, malah kebanyakan tetamu yang hadir pula bukan pembeli berpotensi.

“Penganjuran ini ternyata memberi nafas baharu dalam dunia pertunjukan fesyen kerana ditayangkan secara terbuka kepada pelancong asing dan orang tempatan sambil menikmati panorama ibu kota,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, beliau menyasarkan lebih 30 peratus pelancong domestik melancong mengelilingi Kuala Lumpur menaiki HoHo, sekali gus menyaksikan busana fesyen dan memeriahkan Fashion Ride.

Setiap tahun, beliau berkata, pihaknya menerima kira-kira 250,000 penumpang dengan purata lebih kurang 20,000 sebulan.


KUALA LUMPUR 07 APRIL 2018. (FOR ZUBIR KEMBARA BH) Menjelajah Kuala Lumpur menaiki bas persiaran KL Hop On Hop Off (KL HOHO). NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Tarikan pelancongan

Menerusi jumlah itu, 90 peratus adalah pelancong asing dan selebihnya tempatan.

“Menerusi acara ini, kami mengharapkan lebih ramai penumpang dalam kalangan pelancong tempatan menaiki HoHo, pada masa sama menyaksikan busana yang dibawa oleh pereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pereka fesyen boleh memilih untuk turun ke destinasi pelancongan seperti Taman Burung, Bukit Bintang, KLCC, Chinatown, Pasar Seni, Muzium Negara, Istana Negara dan Taman Tasik Perdana bersama peragawati masing-masing untuk menjalani sesi penggambaran.

Berita Harian X