Isnin, 22 Julai 2019 | 10:04pm
Nik Marhamah menunjukkan sulaman kelingkan yang dihasilkannya. - NSTP/Zaman Huri Isa

Nilai kelingkan bagaikan emas

KOTA BHARU: Sulaman kelingkan menggunakan benang logam pipih bersadur emas, perak serta tembaga menjadikan seni kraf itu bernilai tinggi dan hanya mampu dihasilkan pakar.

Kain kelingkan diperbuat daripada tenunan benang logam pipih itu amat istimewa dan unik melambangkan warisan budaya masyarakat Melayu.

Usahawan, Nik Marhamah Nik Megat, 45, berkata selendang kelingkan ini hanya dipakai kerabat diraja dan bangsawan, namun kini dimodenkan menjadi tudung, pelapik dulang, tampuk bantal, malah turut dipakai sebagai layah bagi pengantin wanita.

Beliau yang mengusahakan kain kelingkan sejak 2006, mahir menghasilkannya kerana mendapat pendedahan sejak kecil.

Katanya, kemahiran itu hasil tunjuk ajar nenek saudaranya, Nik Rahimah Nik Idris, 78, yang juga pakar kain kelingkan tersohor di Kelantan.


Nik Marhamah mengusahakan kain kelingkan sejak 2006, mahir menghasilkannya kerana mendapat pendedahan sejak kecil. - NSTP/Zaman Huri Isa

“Proses menyiapkan kelingkan mengambil masa. Saya hanya mampu menyiapkan 0.2 meter sehari kerana proses tenunan pada kain jenis sifon atau sutera memerlukan ketelitian yang tinggi.

“Sebenarnya, proses membuat kelingkan tidak menggunakan sebarang alatan canggih, tetapi teknik jahitan tikam tembus yang dilakukan melalui jahitan tangan untuk membentuk pelbagai corak bunga seperti bunga ros, kekwa, matahari dan tikam seladang.

“Selepas proses menenun, kain dilapik cermin di bawahnya sementara tenunan ditindih menggunakan kulit siput atau mentol lampu supaya kemas dan tidak terurai,” katanya yang mendapatkan bekalan benang logam dari Singapura dan India, ketika ditemui di kediamannya di Taman Uda Murni, di sini, baru-baru ini.

Nik Marhamah berkata, harga seikat benang mengandungi tiga benang logam adalah RM150.

Benang logam agak mahal iaitu benang logam pipih yang disadur emas, perak atau tembaga serta perlu dijaga rapi agar ia tidak rosak atau patah.


Proses sulaman kelingkan dilakukan dengan teknik jahitan tikam tembus untuk membentuk pelbagai corak bunga. - NSTP/Zaman Huri Isa

Selepas ditenun, bawah kain dilapik cermin sementara tenunan ditindih dengan kulit siput supaya kemas dan tidak terurai. - NSTP/Zaman Huri Isa

Lebih istimewa, jarum yang digunakan untuk membuat kelingkan ditempah khas dan lebihan benang akan dikumpul kemudian dileburkan sebelum dibentuk menjadi jarum.

“Saya hanya dapat menyiapkan sehelai kain kelingkan dalam sebulan dan menjualnya dengan harga RM2,500 sehelai bergantung permintaan pelanggan.

“Bukan sahaja mengambil masa lama untuk menyiapkannya, malah penenun kain kelingkan perlu mengikut pantang larangnya dengan tangan perlu bersih dan tidak boleh berpeluh.

“Jika benang logam digunakan terkena peluh atau kekotoran, ia akan bertukar hitam, sekali gus merosakkan keseluruhan kain.

“Ramai yang tertanya-tanya kenapa ia dipanggil kelingkan? Ada sumber mengaitkan asal usul kelingkan dari India kerana di Asia Tenggara perkataan ‘keling’ merujuk orang dari India Selatan.

“Ia juga timbul kerana bunyi ‘keling-keling’ yang dihasilkan penari India ketika menghentak kaki diikat loceng,” katanya.


Antara peralatan menghasilkan sulaman kelingkan. - NSTP/Zaman Huri Isa

Namun, menurut Nik Marhamah ada juga sumber menyatakan kain kelingkan berasal dari Eropah berikutan istilah clinquant yang digunakan dalam bahasa Perancis untuk menggambarkan sulaman benang logam pipih disadur emas dan perak.

Katanya, kain kelingkan perlu disimpan lebih berhati-hati bimbang akan bertukar warna hitam kerana ia bersifat logam.

Kain berkenaan tidak boleh dibasuh, cukup sekadar dijemur sekejap selepas memakainya dan kemudian dibalut menggunakan kertas sebelum disimpan ke dalam kotak.

“Ia tidak boleh disterika. Kelingkan adalah sejenis kain yang boleh disimpan sehingga ratusan tahun jika kena cara, malah nilainya juga seperti emas,” katanya.

Beliau berkata, tidak ramai anak muda yang sabar untuk membuat kain kelingkan kerana prosesnya rumit dan mengambil masa yang lama.

“Saya harap masih ada anak muda sanggup belajar dan mengusahakan kain kelingkan kerana tidak mahu ia hilang ditelan zaman,” katanya yang banyak menyertai program serta pameran bagi memperkenalkan kain itu di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, setakat ini, negeri yang masih mengusahakan kain kelingkan hanyalah Kelantan dan Sarawak yang mana motif atau corak bunga ditenun akan berbeza mengikut kepada negeri masing-masing.

Nik Marhamah berkata, emosi penenun serta suasana yang kondusif turut memainkan peranan memandangkan prosesnya agak rumit dan perlukan fokus yang baik.

Berita Harian X