Isnin, 2 Disember 2019 | 4:59pm
Uyaina Arsyad (tengah) bersama Eja Shahril selepas sesi peragaan di Jakarta, baru-baru ini.

Busana Muslimah penuhi permintaan global

KUALA LUMPUR: Rekaan bertemakan pakaian muslimah bukan sekadar memenuhi pasaran tempatan untuk digayakan di semua majlis keraian, malah potongan istimewa ini berpeluang pergi lebih jauh bagi memenuhi permintaan global.

Fesyen muslimah dengan tema busana lengkap, menampilkan gaya sopan, anggun bergaya selain memenuhi tuntutan syariat dengan menutup aurat bersifat universal dan boleh diterima semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Pereka muda, Shah Rizul Irza Zulkiply, bidang yang diceburi ini memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan idea ke pasaran lebih luas bagi memenuhi permintaan semasa.

Beliau berkata, rekaan yang menampilkan busana berhijab terus menjadi pilihan semua untuk digayakan ke sebarang majlis terutama acara keraian.

Katanya, tidak terkecuali pakaian bertemakan sedemikian turut digayakan tetamu pada majlis rasmi kerajaan mahupun anjuran korporat.

“Pemerhatian mendapati rekaan menutup aurat turut dijadikan busana pilihan ketika memenuhi undangan majlis perkahwinan mahupun kenduri kendara. Tetamu tidak ketinggalan bergaya mengenakan pakaian sesuai majlis.


Pilihan rona terang serlahkan penampilan ilham Eja Shahril

“Penampilan lebih ayu dan sopan selain pengenaan hijab sempurna bagi menyerlahkan gaya. Kami sedia berkongsi idea bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mempunyai cita rasa tersendiri,” katanya ketika ditemui pada Minggu Fesyen Modes Indonesia, di Jakarta, baru-baru ini.

Pada sesi peragaan itu, 17 pasang persalinan digayakan dengan menampilkan pengacara dan pelakon Uyaina Arsyad sebagai wajah utama.

Buah tangan Eja Sharil sekali lagi memukau tetamu di Jakarta, menerusi penampilan hebat busana ala 'tudung saji'. Gimik sama dipertontonkan pada Asian Islamic Fashion Week 2017 di Kuala Lumpur.

Majlis dijayakan dengan kerjasama Airissh dan ditaja khas oleh Perfectus Cosmetics, Malika dan Tra Holidays Sdn Bhd.

Mengulas permintaan semasa, Eja Shahril berkata, permintaan pelanggan agak unik kerana masing-masing mahu kelihatan anggun bergaya pada masa kekal prinsip berpakaian sempurna menutup aurat.


Potongan kontemporari pilihan ke majlis keraian kelihatan anggun bergaya

Bagi memenuhi keperluan sedemikian, beliau berkata pelanggan perlukan khidmat rundingan terlebih dahulu sebelum disaran memilih fesyen yang sesuai. Pakaian perlu kena dengan individu supaya nampak lebih bergaya.

“Selepas itu barulah kami menyarankan pilihan fabrik yang sesuai,” katanya yang lebih selesa menyediakan khidmat rundingan mengikut kehendak individu.

Bagi menyiapkan tempahan untuk pasangan pengantin pula, Eja Shahril berkata, tempahan yang diterima untuk itu diterimanya sepanjang tahun.

“Bagi memenuhi pilihan pelanggan, saya perlu sentiasa mengemas kini fesyen semasa. Lazimnya pasangan akan mendapatkan khidmat rundingan selain meminta pandangan mengenai tema yang dipilih.

“Tidak dinafikan proses menyiapkan busana pengantin agak rumit kerana setiap pasangan mempunyai cita rasa masing-masing.


Pilihan fesyen lengkap menutup aurat penuh pasaran global

“Tempahan pasangan pengantin bermula RM5,000. Ini termasuk pakaian lelaki dan perempuan serta selendang bagi menambah seri. Ada yang memilih fabrik daripada lace Perancis.

“Walaupun fabrik ini mahal dan usaha menyiapkan agak rumit, namun tempahan tetap diambil bagi memenuhi permintaan,” katanya yang tidak menafikan tekstil itu boleh mencecah RM10,000 sepasang.

Eja Shahril yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, berkelulusan Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Limkokwing, berkata, menceburi bidang rekaan fesyen dengan tumpuan khas untuk rekaan muslimah banyak kelebihannya.

Beliau berkata, pereka dapat mengilhamkan sesuatu yang lebih bermanfaat bukan sekadar berpakaian semata-mata, kreativiti yang dihasilkan mendorong orang lain mengenakan pakaian sempurna berlandaskan syariah.

Eja Shahril bersama suaminya, Muhamad Shahril Ismail membuka butik, di Bertam Perdana, Pulau Pinang.

Pada September 2017, jenama ini pernah melakarkan sejarah manis apabila mempersembahkan koleksi busana mereka di Couture New York Fashion Week di New York, Amerika Syarikat.

Berita Harian X