Isnin, 9 Disember 2019 | 4:50pm
MISS Universe Malaysia, Shweta Sekhon.
MISS Universe Malaysia, Shweta Sekhon.

Kemenangan Kostum Kebangsaan Terbaik Malaysia ditarik balik

KUALA LUMPUR: Kegembiraan rakyat Malaysia hanya bertahan untuk beberapa jam selepas kemenangan Kostum Kebangsaan Terbaik, digayakan oleh Miss Universe Malaysia, Shweta Sekhon, pada Miss Universe 2019, di Atlanta, Amerika Syarikat, semalam, dibatalkan.

Semalam, kategori Kostum Kebangsaan diumumkan milik Shweta, 22, tetapi dalam masa satu jam itu, laman rasmi twitter membuat pengumuman, Gazini Ganados dari Filipina adalah pemenangnya sekali gus membatalkan kemenangan awal milik Malaysia.

Pembatalan itu adalah disebabkan pihak penganjur silap membuat pengumuman pemenang,

Mungkin sudah tertulis bukan rezeki, pengumuman rasmi dari laman twitter @MissUniverse sekali gus mengesahkan perkara itu, sekali gus menghancurkan kegembiraan peminat acara ratu cantik nombor satu dunia itu.

Acara itu yang berlangsung di Tyler Perry Studios itu dihoskan Steve Harvey, memuatkan kenyataan twitter menyebut apa yang diumumkan pengacara adalah betul dan ia dari awal milik Filipina.

“@IAmSteveHarvey adalah betul. Miss Universe Filipina, Gazini Ganados adalah pemenangnya bagi kategori Kostum Nasional, Tahniah Gazini.” kata twitter itu.

Dalam acara langsung itu, Shweta dilihat membetulkan Steve bahawa kategori itu adalah dimenanginya bukan dari peserta dari Filipina.

Dalam masa sama, video yang memaparkan sedutan wawancara dengan Shweta sebagai 'pemenang' kategori Kostum Kebangsaan Terbaik dipadam di laman Twitter itu.

Jika diikutkan kemenangan terbabit sangat bermakna buat Malaysia berikutan ia kemenangan pertama negara di pentas Miss Universe.

Miss Universe 2019, Filipina, Gazini Ganadoz, mengayakan Kostum Kebangsaan Terbaik dimenangi dalam pertandingan Miss Universe 2019, di Atlanta. - Foto Twitter
Miss Universe 2019, Filipina, Gazini Ganadoz, mengayakan Kostum Kebangsaan Terbaik dimenangi dalam pertandingan Miss Universe 2019, di Atlanta. - Foto Twitter

Terdahulu, Shweta dilihat begitu gembira dengan kemenangan yang pertama kali dinobatkan kepada negara ini.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana ia menjulang nama Malaysia di persada dunia.

Shweta berkata, kemenangan itu buka saja membawa kegembiraan, kasih sayang dan penghormatan, tetapi menjulang nama Malaysia di persada dunia.

“Penghormatan ini bukan menjulang nama negara tercinta tetapi menghargai komitmen keras yang dicurahkan sejak saya dinobatkan Miss Universe Malaysia pada Mac lalu hanya ungkapan terima kasih, kemenangan ini untuk semua 31. 4 juta rakyat Malaysia.

“Syukur atas semua sokongan, doa kerana kemenangan ini satu sejarah dan melonjakkan warisan budaya kita menerusi kreativiti pereka tempatan dan kita berjaya membuktikan Malaysia Boleh,” katanya yang dipetik dari laman Instagramnya.

Pertandingan Miss Universe ke-68 itu, menobatkan peserta Afrika Selatan, Zozibini Tunzi diumumkan sebagai Miss Universe manakala tempat kedua, Madison Anderson (Puerto Rico) dan ketiga, Sofia Aragon (Mexico).

Dengan kemenangan Zozibini, wakil Malaysia bagaimanapun tidak berjaya mara ke peringkat Top 20 sekali gus menyaksikan Shweta kempunan untuk layak ke peringkat separuh akhir dalam tempoh 49 tahun.

Sebagai rekod, kali terakhir peserta Malaysia yang layak ke separuh akhir ialah menerusi Josephine Lena Wong pada 1970.

Berita Harian X