Jumaat, 25 Ogos 2017 | 10:24pm
TIMBALAN Naib Canselor hal Ehwal Jaringan Industri UKM, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah (tengah) bersama Dr Nashrah (kiri), Shahrul Nizar Ahmad (dua kiri), Prof Dr Kartini Ahmad dan Vincent Chong (kanan) pada majlis pelancaran program Break the Silence di Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
TIMBALAN Naib Canselor hal Ehwal Jaringan Industri UKM, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah (tengah) bersama Dr Nashrah (kiri), Shahrul Nizar Ahmad (dua kiri), Prof Dr Kartini Ahmad dan Vincent Chong (kanan) pada majlis pelancaran program Break the Silence di Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Masalah pertuturan kanak-kanak jangan dipandang remeh

BAGI kebanyakan ibu bapa bukanlah sesuatu yang pelik apabila anak yang berusia dua tahun masih belum pandai bercakap atau bertutur perkataan yang tidak difahami.

Masing-masing mungkin beranggapan keadaan itu sesuatu yang biasa dan belum tiba masanya anak tadi bertutur dengan sempurna.

Keadaan sedemikian memerlukan perhatian serius kerana berkemungkinan senario sedemikian memberikan petanda anak mengalami masalah pendengaran.

Kesannya boleh menyebabkan mereka tidak dapat bertutur dengan sempurna.

Pengalaman itu dialami Mohamad Helmi Hanifah, 36, yang mendapati anak bongsunya, Mohamad Farzan yang berusia dua tahun bertutur dalam bahasa yang sangat asing.

"Merasai ada yang tidak kena, saya membawa anak ke klinik tetapi doktor menjelaskan budak lelaki memang lambat bercakap.

"Hanya selepas telinganya bermasalah dan menjalani beberapa ujian, barulah disahkan kedua-dua telinga Mohamad Farzan mengalami masalah pendengaran tahap empat," katanya.

MOHAMAD Helmi bersama anaknya, Mohamad Farzan.
MOHAMAD Helmi bersama anaknya, Mohamad Farzan.

Mohamad Farzan didapati hanya boleh mendengar bunyi yang amat kuat saja seperti bunyi kapal terbang.

Pada usia tiga tahun, Mohamad Farzan menjalani pembedahan implan koklea pada kedua-dua telinganya dan menjalani terapi pertuturan.

Kini dia berupaya mendengar dan bertutur seperti biasa dengan alat bantuan pendengaran berkenaan.

Mohamad Helmi ditemui pada Program 'Break The Silence' anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Swiss Medicare Sdn Bhd di Kidzania, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd itu memberi peluang kepada lebih 20 kanak-kanak yang memakai implan koklea untuk merasai pengalaman pembelajaran secara interaktif.

Seorang lagi bapa, Shamsul Abd Rahman, 48, berkongsi pengalaman apabila kedua-dua anaknya dikesan mengalami masalah pendengaran.

"Anak kedua saya, Wasilah kini sembilan tahun, disyaki tidak dapat mendengar ketika usianya tiga bulan oleh neneknya.

"Apabila dipanggil atau ada objek yang jatuh, dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas," katanya.

Selepas menjalani pemeriksaan, kedua-dua belah telinga Wasilah didapati tidak dapat menangkap bunyi.

Masalah yang sama turut dialami oleh anak bongsunya, Yash yang dikesan bermasalah pendengaran sejak dilahirkan.

Kedua-duanya menggunakan implan koklea bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain termasuk belajar di sekolah.

SHAMSUL melayani anak bongsunya Yash.
SHAMSUL melayani anak bongsunya Yash.

Sementara itu, Ketua Program Audiologi FSK UKM, Dr Nashrah Maamor, berkata masalah pendengaran perlu dikesan sejak lahir sehingga sebelum mencecah usia tiga tahun.

"Sekiranya anak tidak faham apa yang kita cakap atau sukar mendengar apabila dipanggil walaupun pada jarak dekat, kemungkinan dia ada masalah pendengaran.

"Bagaimanapun, kini hospital kerajaan menjalankan ujian saringan pendengaran neonatal ke atas semua bayi yang baharu dilahirkan bagi mengesan masalah ini," katanya.

Ibu bapa juga berperanan memastikan anak tidak terdedah kepada bunyi bising termasuk mainan berbunyi kuat dalam tempoh berterusan bagi mengelakkan mereka mengalami masalah pendengaran pada masa depan.

Info:

Punca bayi dilahirkan dengan masalah pendengaran:

- 60 peratus boleh dicegah:

i. Kesan daripada jangkitan.

ii. Elak daripada mengambil sembarangan ubat tanpa nasihat doktor sepanjang tempoh kehamilan.

iii. Disaran menjalani gaya hidup sihat semasa hamil dengan tidak merokok.

Punca lain yang mengganggu pendengaran bayi:

- Bayi lahir dengan komplikasi kesihatan seperti jaundis, berat badan kurang.

- Bayi lahir dalam keadaan pramatang.

Kekerapan masalah pendengaran:

- Enam bagi setiap 1,000 bayi yang baharu dilahirkan.

(bermula daripada masalah ringan sehingga pekak sepenuhnya)

Tahap gangguan pendengaran:

- Sederhana

- Teruk

- Sangat teruk

- Pekak

Matlamat menggunakan implan koklea:

- Kanak-kanak dapat mendengar.

- Belajar bertutur dan menguasai bahasa.

- Dapat belajar di sekolah biasa.

Kos alat bantu dengar:

- RM1,500 sehingga RM16,000

- Pelbagai ciri mengikut keperluan

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X