Jumaat, 1 September 2017 | 10:41pm
DIET 'superfood' merangkumi sumber protein daripada ikan serta banyakkan pengambilan buah dan sayur penting untuk mengekalkan kesihatan warga emas. - Foto hiasan
DIET 'superfood' merangkumi sumber protein daripada ikan serta banyakkan pengambilan buah dan sayur penting untuk mengekalkan kesihatan warga emas. - Foto hiasan

Berpuasa, sajian berkhasiat hindari nyanyuk

AMALAN berpuasa sunat disusuli diet 'superfood' berupaya melambatkan proses penuaan dan mengelakkan penyakit dimesia atau nanyuk dalam kalangan warga emas.

Gabungan itu dicadangkan oleh Profesor Pemakanan dan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Suzana Shahar sebagai model penuaan sihat, mengatasi fenomena penuaan diiringi dengan tahap ketidakupayaan yang tinggi di negara ini.

Berpuasa setiap Isnin dan Khamis kata beliau, berupaya mengurangkan emosi kurang baik termasuk melambatkan proses penuaan dalam kalangan warga emas.

ANTARA peserta Syarahan Perdana Penganugerahan Profesor berkaitan Petua Pemakanan Untuk Penuaan Sihat. - Foto Rohanis Shukri
ANTARA peserta Syarahan Perdana Penganugerahan Profesor berkaitan Petua Pemakanan Untuk Penuaan Sihat. - Foto Rohanis Shukri

"Sekiranya amalan itu diteruskan selama tiga bulan, tabiat berkenaan mengurangkan berat badan selain menurunkan peratus lemak tubuh, tekanan darah dan aras lipid darah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Syarahan Perdana penganugerahan Profesor berkaitan Petua Pemakanan untuk Penuaan Sihat di Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Dr Suzana berkata, amalan berpuasa yang digabungkan diet penghadan kalori (FCR) mengurangkan 300 sehingga 500 kalori pada hari biasa, mampu menurunkan berat badan, peratus lemak tubuh, tekanan darah dan aras lipid darah.

PROF Dr Suzana berucap pada Syarahan Perdana penganugerahan Profesor berkaitan Petua Pemakanan untuk Penuaan Sihat. - Foto Rohanis Shukri
PROF Dr Suzana berucap pada Syarahan Perdana penganugerahan Profesor berkaitan Petua Pemakanan untuk Penuaan Sihat. - Foto Rohanis Shukri

"Orang yang kerap dan jarang berpuasa menunjukkan penurunan kerosakan DNA yang memberangsangkan berbanding yang tidak berpuasa.

"Diet 'superfood' merangkumi sumber protein daripada ikan serta memperbanyakkan pengambilan buah dan sayur amat penting untuk mengekalkan kesihatan warga emas," katanya.

Ikan daripada spesies salmon kaya asid lemak omega bagus untuk fungsi otak dan jantung selain bersenam untuk menguatkan fungsi otot.

Katanya, ikan tempatan seperti kembung dan cencaru mengandungi asid lemak omega malah lebih tinggi berbanding susu omega yang dijual di pasaran.

Memasak menggunakan kaedah memanggang dan berkuah seperti singgang, asam pedas atau sup mengekalkan kandungan omega berbanding menggoreng.

Superfood lain adalah ulam ulaman seperti daun kesom, ulam raja dan daun selom kaya dengan polifenol khususnya daun selom meningkatkan daya ingatan dan fungsi sosial warga emas yang mengalami gangguan emosi.

PAKAR Pemakanan dan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Suzana Shahar. - Foto Rohanis Shukri
PAKAR Pemakanan dan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Suzana Shahar. - Foto Rohanis Shukri

Kajian beliau mendapati buah-buahan tropika seperti jambu batu berpotensi meningkatkan fungsi otak termasuk meningkatkan daya ingatan seterusnya mengurangkan risiko nyanyuk.

Prof Dr Suzana berkata, talbinah yang menjadi pemakanan sunnah yang diamalkan masyarakat Arab mengurangkan risiko kemurungan di institusi penjagaan warga emas.

Ia adalah sejenis minuman barli yang dimasak bersama susu dan dimaniskan dengan madu (25 gram talbinah dalam 100 milileter air suam).

Talbinah kaya dengan karbohidrat (86.4 peratus) dan mineral zink serta magnesium yang boleh mengurangkan risiko kemurungan selain asid amino triptofan lebih tinggi berbanding susu yang diangkut ke otak dan merangsang hormon serotonin atau endofin iaitu hormon ceria.

Info:

Panduan bagi penuaan kognitif sihat

  • Kawal paras gula ke tahap normal.
  • Kawal aras lemak ke tahap normal.
  • Ambil buah-buahan dan sayur sayuran lima hidangan sehari.
  • Ambil ikan lima hidangan seminggu.
  • Amalkan penghadan kalori melalui berpuasa sunat atau diet rendah kalori.
  • Lakukan aktiviti merangsang minda.
  • Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit lima kali seminggu.
  • Elakkan merokok dan alkohol.

Minyak ikan:

  • kaya dengan DHA
  • meningkatkan fungsi kognitif ringan, daya ingatan pendek dan ingatan bekerja bagi warga emas.
  • Faktor risiko dimensia:

  • Kegemukan
  • Kurang cergas
  • Kurang membaca
  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X