Isnin, 11 September 2017 | 9:58pm
BANTU kemahiran berenang, rangsang otak agar lebih fokus.
BANTU kemahiran berenang, rangsang otak agar lebih fokus.

Terapi air rangsang otak kanak-kanak autisme

TERAPI air antara kaedah terbaharu memberi peluang kanak-kanak penghidap autisme menikmati kehidupan sama seperti kanak-kanak normal lain.

Prihatin dengan keperluan kanak-kanak autistik, Pengetua Muslim Swimming and Sports Academy, Jazredal Aboo Bakar mengasaskan program Terapi air : Terapi Spatial (ruang) dan Risiko menggunakan intervansi Aquaphobia bagi merangsang perkembangan otak pelajar autistik.

Hasilnya, pelatih mendapat jiwa tenang, fokus persekitaran, memperbaiki persekitaran, peningkatan kemahiran motor dan pembelajaran dan yakin untuk interaksi dan komunikasi di sekolah.

Beliau yang juga Jurulatih Persatuan Kelemasan Malaysia, berkata pengalaman mengajar kemahiran berenang kepada beratus-ratus pelajar normal, membuka keprihatinan beliau untuk melatih kemahiran sama kepada kanak-kanak autistik.

"Pada mulanya saya keberatan melatih anak autistik kerana kurang ilmu, namun keinginan bagi memahami anak autistik ini semakin kuat.

"Saya membuat pemerhatian awal kepada kaedah pengajaran guru renang lain yang mempunyai pengalaman luas dalam mengajar pelajar dalam kalangan orang kurang upaya (OKU). Namun pertanyaan saya mengenai cara pengajaran mereka membuatkan saya tersentak.

TERAPI anak autisme.
TERAPI anak autisme.

TERAPI air beri peluang nikmati hidup seimbang.
TERAPI air beri peluang nikmati hidup seimbang.

"Cara mereka mengurus pelajar adalah lebih kepada mengajar kemahiran berenang, tegas dan perlu marah bagi mendapatkan perhatian pelajar," katanya yang menyambung kursus perenang keperluan khas bersama Persatuan Guru Renang Malaysia.

Ia sebagai memahami lebih mendalam cara pengendalian latihan secara profesional kerana yakin anak autistik memilik kelainan kebolehan dan bukan kurang upaya.

Memahami sifat pelajar autistik, beliau berkata kanak-kanak autistik dilahirkan dengan sifat streotaip berlebihan.

"Kurang atau tiada interaksi sosial dan obses kepada sesuatu keterlaluan. Sifat ini membuatkan mereka yang autistik sukar menyesuaikan diri dalam masyarakat, malah sukar mengendalikan diri sendiri.

"Penghidap autisme mengalami ketidakhadiran fungsi sebahagian otak. Ia perlu dirangsang secara kerap supaya bahagian itu berfungsi selaian sokongan masyarakat dan ibu bapa turut membantu.

"Bagaimanapun, terapi air adalah terbaik dengan keputusan hasil pencapaian segera," katanya.

PELATIH belajar mengimbangi badan di atas karpet terapung.
PELATIH belajar mengimbangi badan di atas karpet terapung.

Beliau berkata, menariknya apabila selesai kursus, pelajar berjaya menganalisis risiko dan memahami ruang sekeliling.

"Antara masalah anak autistik adalah mereka tidak dapat memahami ruang dengan baik. Misalnya, ada yang suka berdiri di tengah jalan raya kerana sukakan bunyi hon kenderaan tanpa memahami risiko," katanya.

Dilaporkan di Amerika Syarikat, banyak kes kematian lemas berlaku di kolam dan tasik terbiar hanya kerana anak autistik sukakan air.

"Di negara ini, kadar kematian lemas adalah dua orang setiap hari. Bagaimanapun, tidak pernah direkodkan berapa peratus pengidap autistik secara jelas," katanya.

Boleh difahami betapa bimbang ibu bapa terhadap ketidakupayaan anak autistik ini memahami dua asas kehidupan ini iaitu ruang dan risiko.

Jazredal berkata, silibus dijalankan berdasarkan Jaz's Aquaphobia Framework (JAF) menerusi fasa latihan yang mensasarkan tiga strategi.

PEMBELAJARAN secara berkumpulan membantu pelatih lebih selesa berinteraksi sosial dan menghargai persekitaran.
PEMBELAJARAN secara berkumpulan membantu pelatih lebih selesa berinteraksi sosial dan menghargai persekitaran.

"Fasa latihan adalah memahami perkembangan otak manusia mengikut usia, pengaruh hormon terhad otak manusia dan sasaran bahagian otak yang mahu dirangsang selain mengimbangi gelombang otak," katanya.

Program latihan dibahagikan kepada dua kategori iaitu pelajar autistik berfungi tinggi (autistik bijak) dan pelajar autistik berfungsi rendah (autistik klasik )

Katanya, intervansi Aquaphobia berupaya mengubah gelombang dan hormon otak pelajar autistik.

"Otak manusia berkembang mengikut rentak dan berjadual. Apabila sebahagian otak tidak berkembang mengikut jadual normal, maka ia dikenali sebagai perkembangan tertunda.

"Bagi penghidap autistik, sebahagian kawasan otak memerlukan rangsangan .

"Air adalah elemen yang tidak memungkinkan seseorang untuk berdiam diri apabila memasukinya. Seseorang harus bergerak bagi terus timbul atau mendayung ke tempat selamat," katanya.

Katanya, bagi pelatih autistik yang mempunyai Aquaphobia atau takut air, mereka merasakan ancaman pada peringkat permulaan.

PERCIKAN air dan pergerakan tangan adalah kaedah permainan di dalam kolam untuk membina neuron otak baharu.
PERCIKAN air dan pergerakan tangan adalah kaedah permainan di dalam kolam untuk membina neuron otak baharu.

"Jadi mereka merasakan keperluan untuk fokus sepenuhnya terhadap arahan. Peluang penumpuan ini akan digunakan sepenuhnya oleh guru untuk mengarah dan memastikan pelatih mengikut arahan secara ringkas dan tepat.

"Penggunaan dua bahasa dalam memberi arahan akan merangsang sebahagian besar otak kanan berfungsi memproses maklumat," katanya.

Berdasarkan pengalaman dan statistik dari program dijalankan, responden dalam kalangan ibu bapa menyatakan intervansi Terapi Spatial dan Risiko berjaya mengubah sikap pelatih dalam hanya lima sehingga 10 kelas saja.

INTERVANSI Aquaphobia berupaya mengubah gelombang dan hormon otak pelajar autistik.
INTERVANSI Aquaphobia berupaya mengubah gelombang dan hormon otak pelajar autistik.

INFO
Kepentingan terapi air

  • Aquaphobia membuatkan otak pelatih mengeluarkan gelombang Beta dan Gamma.
  • Menerusi frekuensi tinggi, ia membentuk penumpuan sepenuhnya terhadap persekitaran.
  • Gelombang pendek otak pelatih berfungsi secara maksimum di bahagian yang pertuturan, penglihatan, persepsi dan motor.
  • Tempoh intervansi yang optimum ini akan menyebabkan otak pelatih mengeluarkan hormon kegembiraan.
  • Kesan hormon ini menyebabkan pelatih autistik menunjukkan kasih sayang dan ketenangan.
  • Hormon ini juga membantu membina memori, belajar mengambil risiko dan mengharapkan ganjaran dan memanjangkan tempoh tumpuan.

Kebaikan

  • Meningkatkan daya tumpuan lebih panjang dalam jangka masa
  • Mendengar arahan dengan lebih baik
  • Mempunyai hubungan mata lebih kerap
  • Menambah baik sistem moto kasar dan halus
  • Peningkatan hubungan kasih sayang dalam pelajar
  • Peningkatan pertuturan ringkas
  • Berita Harian X