Rabu, 11 Julai 2018 | 5:52pm
NOMEE Ashikin (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang pengguna Pusat Internet Malaysia Kampung Tersusun Batu 8, Tambun. - Foto Razif Rosli
NOMEE Ashikin (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang pengguna Pusat Internet Malaysia Kampung Tersusun Batu 8, Tambun. - Foto Razif Rosli

Ibu bapa dinasihatkan pantau penggunaan media sosial anak

IPOH: Ibu bapa perlu memantau penggunaan media sosial anak supaya mereka tidak menjadi penyumbang kepada gejala jenayah pornografi membabitkan kanak-kanak.

Isteri Menteri Besar Perak, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata, pemantauan ini bagi memastikan pergaulan anak-anak di media sosial terkawal.

"Jangan pandang remeh perkara ini, walaupun dipantau ada juga yang terlepas pandang sekali gus mendedahkan kanak-kanak dengan jenayah siber kerana mudah mengakses laman sesawang pornografi.

"Lebih malang lagi apabila negara mencatatkan bacaan alamat protokol Internet (IP) tertinggi di Asia Tenggara mengakses laman sesawang pornografi kanak-kanak termasuk memuat naik dan memuat turun gambar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Peka Klik Dengan Bijak anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perak di Pusat Internet Malaysia Kampung Tersusun Batu 8 di sini, hari ini.

Program berkenaan bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran mengenai penyebaran maklumat palsu di media sosial serta kesan penyebarannya terhadap negara dan masyarakat selain mendedahkan trend jenayah siber yang berlaku di media sosial.

Nomee Ashikin turut menasihati ibu bapa supaya berhati-hati dengan pemangsa pedofilia antarabangsa yang aktif di laman maya dan mensasarkan kanak-kanak termasuk di negara ini.

"Kita perlu sentiasa berhati-hati kerana kepesatan teknologi memudahkan pemangsa pedofilia tanpa mengira tempat dan kawasan mengakses anak-anak kita di laman sosial, ini yang kita bimbangkan," katanya.

Berita Harian X