Rabu, 28 November 2018 | 3:20pm
ROHANI (kanan) menjalankan perniagaan Mybidan secara bergerak di bawah program keluar asnaf oleh Pusat Zakat Selangor di Teluk Panglima Garang. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Kemahiran urus ibu berpantang, jana pendapatan lumayan

BANTING: Berhadapan saat getir menguruskan keluarga dan empat anak yang masih kecil selepas kematian suami secara tiba-tiba, memberi kekuatan kepada Rohani Ridwan, mencuba nasib mendapatkan bantuan awal di Pusat Zakat Meru, Klang.

Pada awalnya, beliau mencuba nasib memohon dana memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Berkat kesungguhan dan keyakinan, usahanya berbaloi, beliau bukan sahaja ditawarkan bantuan kewangan, malah diberi peluang mengikuti kursus mengurut, menjaga ibu lepas bersalin dan menguruskan bayi.

Mampu berdikari

Kemahiran yang tidak pernah terfikir beliau yang sebelum ini suri rumah sepenuh masa, berupaya membawa mereka sekeluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

Rohani, 33, mampu berdikari selepas selesai menjalani kursus menerusi Program Mybidan. Peserta diminta mengikuti kursus dua tahun yang dijalankan secara berperingkat.

Kursus empat kali sebulan termasuk mendedahkan peserta dengan strategi pemasaran, teknologi media sosial dan keterampilan diri.

“Dahulu saya suri rumah sepenuh masa yang tidak tahu apa-apa, malah tidak pernah ada akaun laman sosial Facebook mahupun Instagram.

“Menerusi kursus ini, saya mempelajari kepentingan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Raih RM7,000 sebulan

Berkat menjalankan perkhidmatan mengurut secara bergerak, Rohani mampu menjana pendapatan bersih purata sekitar RM4,000 sehingga RM7,000 sebulan. Pelanggan terdiri pelbagai bangsa yang menawarkan bayaran lumayan.

“Pernah menerima bayaran RM16,000 menerusi kerjasama dengan seorang wanita Tionghua yang turut menjalankan perniagaan sama. Perkhidmatan itu termasuk pakej mengurut ibu dan bayi, menyediakan makanan dan mengemas rumah selama 28 hari.

“Caj untuk setiap pelanggan bagi tempoh pakej 45 hari mencecah RM8,800. Ini termasuk sesi urutan selama 10 hari, setiap tiga hari dalam tempoh awal, pertengahan dan terakhir, sekali sebagai penutup.

“Dalam sehari, saya mampu mengurut sehingga lima ibu dan bayi,” katanya yang lebih selesa menggunakan motosikal untuk ke rumah pelanggan.

“Bagi memastikan dirinya terus bertenaga, Rohani menggunakan teknik yang diajar ketika menyertai kursus sebelum ini seperti tidak menumpukan tenaga hanya ke atas tangan dengan menggoyangkan tubuh ketika berurut.

Walaupun sudah dikenali pelanggan, khususnya di sekitar Teluk Panglima Garang, beliau tidak lokek berkongsi rezeki dengan wanita asnaf lain.

“Tugas memasak, mengemas rumah dan menjaga bayi diserahkan kepada dua asnaf lain supaya mereka berpeluang menjana pendapatan.

“Kini saya mampu menggaji pengasuh menjaga empat anak, Sayangku Saffiyah Azmin Asrap, 10; Muhammad Fauzi, lapan, Ammar Jamaluddin, tujuh, dan Muhammad Al Amin, tiga, ketika keluar bekerja,” katanya.

Projek Mybidan

Program insiatif Majlis Agama Islam Selangor di bawah Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dengan kerjasama Zakat Selangor

Matlamat: Memberi peluang kepada asnaf peroleh pendapatan dan keluar daripada golongan asnaf

Berita Harian X