Isnin, 3 Disember 2018 | 12:56pm
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kembali bekerja, tingkat keyakinan diri

Kuala Lumpur: Seramai 4,113 atau 76 peratus daripada 5,367 kakitangan wanita yang ditimpa bencana, kembali semula bekerja selepas mengikuti program Return To Work (RTW) disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pada 2009 sehingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah paling ramai wanita kembali bekerja berbanding negeri lain, sekali gus memberi peluang kepada pencarum mendapat manfaat menerusi program berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata program RTW ini berkonsepkan total replacement of income bertujuan membantu pencarum yang ditimpa bencana ketika mereka bertugas supaya mampu berdikari semula.

Katanya, faktor utama mempengaruhi wanita mengikuti program itu kerana mereka begitu bermotivasi, selain keupayaan dimiliki selepas menjalani sesi pemulihan fizikal dan vokasional yang diberikan di bawah program RTW.

Sokongan semua pihak

“Ini sekali gus memberikan sokongan utama kepada mereka kembali bekerja, termasuk dorongan daripada keluarga, penerimaan positif majikan dan persekitaran tempat kerja yang sihat dan selamat, membuatkan ramai tertarik mengikuti RTW ini,” katanya kepada BH.

Mohammed Azman berkata, ada kalangan wanita yang tidak mengikuti RTW kerana mereka cenderung memulakan kerja sendiri atau perniagaan, mengikut saranan keluarga supaya tidak terus bekerja, memilih menjadi suri rumah sepenuh masa dan mengambil keputusan untuk menyambung pengajian.

“Selain itu, kekangan untuk mengikuti RTW kerana wanita menghadapi cabaran lebih besar untuk kembali bekerja, umpamanya keluarga tidak menggalakkan bekerja, berikutan bimbang ditimpa kemalangan lain yang lebih memudaratkan.

“Jika dilihat dari aspek pendapatan keluarga, kebiasaannya wanita bergantung kepada pendapatan suami. Keadaan terbabit mengurangkan desakan bagi wanita untuk kembali bekerja selepas menjadi hilang upaya,” katanya.

Katanya, inisiatif RTW itu bertujuan membantu pencarum menjana pendapatan menerusi peluang pekerjaan yang dijana, sekali gus memberikan mereka penggantian pendapatan tanpa mengharapkan pampasan sahaja.

Jadi program itu diperkenalkan hasil kajian semula yang dijalankan pihaknya, terhadap kehidupan pencarum selepas mereka ditimpa kemalangan (post accident) atau selepas menerima pampasan yang mendapati mereka belum mampu berdikari atau masih dibelenggu masalah lain.

“Lazimnya mereka dibelenggu unsur psycho sosial negatif seperti hilang keyakinan diri, tekanan dan kemurungan yang berpunca daripada kecederaan atau penyakit mereka,” katanya.

Tingkatkan taraf hidup

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya sedar bahawa pampasan sahaja tidak akan memperbaiki atau meningkatkan taraf hidup mereka yang ditimpa bencana, jadi memperkenalkan program ini yang tidak seperti ditawarkan institusi perkhidmatan insurans.

Katanya, secara perbandingan, penyedia insurans hanya memberikan pampasan dalam bentuk wang kepada mangsa kemalangan, yang tidak menjanjikan ia mencukupi untuk menanggung kos kehidupan seharian sepenuhnya seperti sebelumnya.

“Pampasan yang diterima mangsa kemalangan tidak dapat menyamai pendapatan atau gaji ketika masih bekerja.

“Apabila seorang itu bekerja, mereka mempunyai peluang kenaikan gaji, caruman wang simpanan pekerja (KWSP) berterusan, bonus dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian X