Rabu, 5 Disember 2018 | 9:42am
DARI kiri Nor Azizah, Pak Seong dan Tay ketika program diskusi di Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Pengguna gajet terdedah risiko rabun jauh

GAYA hidup moden menerusi penggunaan gajet mendedahkan individu terutama kanak-kanak kepada risiko rabun jauh dan rabun jauh teruk.

Ini berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendapati satu bagi setiap 10 kanak-kanak di negara ini mengalami gangguan kesihatan mata yang gagal didiagnosis lebih awal.

Peka keadaan itu, ibu bapa perlu sensitif perkembangan kesihatan anak masing-masing dengan menjalani pemeriksaan segera jika berlaku sebarang perubahan kepada deria penglihatan mereka.

WHO melaporkan kira-kira 1.89 bilion atau 23 peratus penduduk dunia (4.95 bilion), menghidap rabun jauh (myopia) dan rabun jauh teruk (high myopia) menjelang 2050. Kesannya buruk menyebabkan pesakit terdedah kepada risiko hilang penglihatan jika tidak dirawat segera.

Pengarah Unit Perniagaan Johnson & Johnson, Jeremy Tay, berkata laporan WHO mendedahkan lazimnya myopia jauh lebih tinggi di kawasan berpendapatan tinggi Asia Pasifik, Asia Timur dan Asia Tenggara.

“Walaupun rakyat Malaysia kini lebih sihat, ramai terlepas pandang terhadap kesihatan mata,” katanya ketika merasmikan 24 pusat pemeriksaan mata ACUVUE, di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Majlis Optikal Malaysia, Nor Azizah Ismail dan Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Woon Pak Seong.

Jeremy berkata, kajian Johnson & Johnson tahun lalu, mendapati 42 peratus pemakai kanta lekap tidak mengetahui lensa dianggap sebagai peranti perubatan yang memerlukan preskripsi.

Penting jaga mata

“Memandangkan penduduk Asia menghadapi risiko menghidapi penyakit ini, kami mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program mendidik orang ramai mengenai pentingnya penjagaan mata,” katanya. Woon berkata, myopia disebabkan pelbagai faktor termasuk genetik, teknologi moden, alam sekitar dan gaya hidup.

Kebanyakan rakyat negara ini, kata beliau mengunjungi kedai optik dengan bertemu optometris sekadar membeli cermin mata atau kanta lekap selepas menjalani pemeriksaan.

“Pemeriksaan mata yang kerap dan tepat diperlukan bagi memastikan preskripsi semasa dilakukan dengan betul. Amat penting bagi pengguna berunding dengan optometris dan disahkan AMO.

“Banyak kes penyakit mata biasa dapat dirawat jika dikesan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Nor Azizah berkata, orang ramai sering dilambakkan dengan maklumat mengenai kesihatan mata dan produk kanta lekap secara dalam talian dengan pelbagai tawaran menarik.

“Dengan alasan ingin kelihatan cantik, pengguna membelinya tanpa merujuk optometris walhal kanta lekap memiliki kuasa, malah bukan untuk tujuan kecantikan.

“Malangnya, ada pengguna tidak mengetahui cara penyimpan dan membersihnya dengan betul, ini juga berisiko.

“Kita harus ingat, kanta lekap ini seperti kasut, jika saiznya tidak sesuai boleh memudaratkan pemakai,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya Akta Peranti Perubatan 2012, yang diluluskan tahun lalu, dijangka dapat mengawal selia penjualan kanta lekap yang berleluasa di pasar malam, dalam talian atau mereka yang tidak bertauliah.

Berita Harian X