Sabtu, 5 Januari 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Milah koma dua minggu bahana pneumonia

Kisah rakyat Malaysia menetap di luar negara, Milah Rasad, mengikuti suaminya bertugas di New York dan Paris. Semua orang Malaysia yang pernah menetap atau bekerja di sana mengenali Milah.

Kisah suka duka Milah di Choisy Le Roi, Paris kota yang indah seolah-olah sudah tertulis, di bumi ini menyaksikan tubuhnya kaku bagaikan ajal hampir menjemputnya.

Mei lalu, permulaannya dengan kesakitan apabila badan Milah panas sehingga demam dan sakit kepala berterusan.

Kesan rasa tidak selesa ini, menyebabkan Milah mengambil ubat tahan sakit dan tidur. Namun keadaan tidak selesa sehingga suhu badan meningkat dan kesan sakit kepala teramat sangat.

Selepas didiagnosis Milah disahkan mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru atau Pneumonia. Tidak sedarkan diri selama dua minggu, koma dan terlantar di Hospital Henri Mondo di Paris.

Mengimbas detik sebelum demam, Milah merasakan keadaan badan tidak sihat selepas pulang beberapa hari dari kunjungan ke Switzerland. 

Selepas pulang kesihatan masih sihat, malah bertenaga membeli keperluan di pasar dan menyediakan juadah untuk tetamu dan rakan serta ahli keluarga bersempena sambutan ulang tahun ke-55 kelahiran suaminya, Abdul Rahim Haron, Pengarah Tourism Malaysia di sana.

Namun, pada hari ulang tahun itu, dirasakan ada tanda awal badan mulai panas dan tidak selesa. Milah kuatkan semangat dengan dibantu tetamu menyiapkan sajian jamuan. Esoknya suhu badan meningkat menjadikan badan terlalu panas.

Beliau berjumpa doktor untuk ujian sampel darah dan air kencing, kemudian pulang ke rumah. Namun keadaan semakin kritikal apabila bacaan suhu mencecah 39.8 darjah Celsius. Milah dikejarkan ke Hospital Henri Mondo dengan ambulans.

“Sampai hospital masih sedar sementara badan sangat lemah untuk bernafas. Doktor memberikan bantuan oksigen sebelum keadaan kritikal. Saya dikategorikan sebagai pesakit separuh kritikal.

“Doktor mengesahkan darah merah berada pada paras 20 peratus dan perlu mengambil antibiotik selama dua minggu. Saya juga tidak dibenarkan bergerak, semua perkara diuruskan jururawat,” tambah Milah lagi.

Selepas dua minggu terlantar, pada satu malam, Milah merasa sangat sedih dengan keadaan ini. Beliau hanya mampu berserah kepada Allah. Hatinya terdetik bersuara pada suami tersayang, memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap selama 27 tahun perkahwinan mereka. Halalkan makan minum.

“Saya tidak mampu menahan kesedihan, suami kelu membisu, tiada ucapan diluahkan tanda sayang dan memahami keluhan pilu.

“Mula merasakan diri sudah tiada kekuatan lagi, semakin jauh dari suami dan anak-anak seolah-olah semakin hampir perjalanan ke alam sana. Tiada kekuatan untuk saya melawan ketentuan-Nya.

“Keesokannya saya terpaksa dikomakan atas sebab rawatan. Dalam tempoh itu pakar mengesahkan beberapa organ dalaman tidak berfungsi. Doktor memaklumkan suami harapan untuk hidup sukar, selain menasihatkan ahli keluarga membuat persiapan kemungkinan menguruskan jenazah Milah dalam masa terdekat,” katanya.


Milah bagaikan mati hidup semula selepas koma dua minggu disebabkan pneumonia.

Suami berada dalam keresahan dari hari ke hari. Milah tidak menunjukkan tanda awal untuk pulih. Ketika dalam keadaan koma, Rahim hanya mampu bertahan 10 minit berada di wad unit rawatan rapi. Tidak sanggup melihat keadaan isteri ketika itu bergantung hidup dengan mesin sokongan hayat.

Rahim menghubungi anak perempuan mereka, Noor Aliyah, yang sedang dalam pengajian di tanah air segera terbang ke Paris meluangkan masa terakhir bersama ibunya.

Turut mengunjungi dari tanah air, Nathan sahabat karib keluarga mereka, berada di sana selama dua minggu semata-mata untuk membantu dan melihat keadaan kesihatan Milah.

Aliyah, Iskandar, anak lelaki Milah dan anak saudara Nazib dan Luna, kebetulan berada di Paris, bergilir-gilir menjaga ibu saudara mereka di hospital.

Begitu juga sahabat lain antaranya Farid, Mirza dan Arun yang masing-masing menetap dan bertugas di sini, hampir setiap hari berulang alik menghantar ahli keluarga ke hospital.

Sewaktu Milah dalam keadaan koma, saudara mara dan sahabat handai tidak putus-putus berdoa dan solat hajat agar dimakbulkan keajaiban Allah. Malah doa dan solat hajat juga bersilih ganti mahu pun dari pondok dan pusat tahfiz di tanah air dan juga dari sahabat handai di Paris.

Ramai pegawai kedutaan Malaysia di Perancis menziarahi Milah semasa koma dan mengadakan majlis bacaan doa selamat dari semasa ke semasa. Tika itu keadaan Milah masih kritikal. Sistem pernafasan bergantung sepenuhnya dengan bekalan oksigen melalui mulut setelah setelah paru-parunya tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Milah juga beberapa kali menjalani rawatan dialisis kerana kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi dengan sempurna.

Jauh di tanah air, keluarga terdekat berada dalam suasana hiba. Amat menyedihkan, kakak Milah, Norita, tinggal di Johor sukar melelapkan mata sehingga dua minggu kerana terlalu sedih mengenangkan keadaan adiknya yang terlantar jauh di negara orang.

Allah Maha pemurah, penyayang, berkat doa dan rintihan suami, anak, ahli keluarga dan sahabat handai, Milah menerima keajaiban Allah, bangun dan sedar daripada koma dua minggu. Tiada siapa menduga keajaiban ini berlaku.


Milah dan suami ketika menunaikan haji.

Semua terperanjat dengan berita Milah sedar daripada koma terutamanya pakar perubatan di Paris. Inilah ketentuan Allah yang tidak terduga. Suami paling gembira melihat Milah sedar daripada koma.

Berkongsi pengalaman ketika dalam keadaan koma, Milah berkata, beliau seolah-olah seperti mati hidup semula. Ketika koma juga dia bermimpi berada di tepi pantai, seorang wanita berpakaian putih mengurungnya di dalam keranda pasir dan mengikat mulut, tangan dan kaki. Milah menjerit meminta pertolongan.

Itu mimpi jelas di ingatan setelah sedar, hingga kini masih lagi tidak memahami maksud mimpi itu. Namun harapan Milah supaya dugaan ini menjadi titik permulaan kehidupan Milah yang lebih baik dan menjadi hamba Allah solehah.

Sepanjang tempoh 58 hari menjalani rawatan, berat badan turun 15 kilogram. Selepas keluar hospital, beliau dipantau pakar selama dua bulan dan disahkan bebas jangkitan penyakit.

Sebelum Milah jatuh sakit, Rahim dan Milah berhajat menunaikan ibadah haji. Mereka mendaftar dengan Tabung Haji di Malaysia untuk mengerjakan Ibadah Haji melalui Jemaah Haji Malaysia Luar Negara. Alhamdulillah hajat mereka tercapai dengan menerima jemputan menjadi tetamu Allah pada musim haji baru-baru ini.

Terima kasih atas bantuan Konsulat Arab Saudi di Paris, Pegawai Atashe Pertahanan Malaysia di Perancis, Major Zakir, dan Kapten Abdul Hamid Ali.

Tanggal 3 Ogos 2018. Hari keramat lagi bersejarah, saat ditunggu-tunggu Milah dan Rahim, tarikh itu mereka melangkahT kaki meninggalkan Paris, berkunjung ke kota suci Madinah dan menjadi tetamu Allah di bumi Anbiya.

Kunjungan yang sangat dinanti-nantikan ziarah ke Madinah, Masjid Nabawi, Taman Raudah, lalu melewati makam Rasulullah.

Pengalaman dan kesyukuran dipanjatkan berpeluang menjejak kaki ke bumi Makkah buat pertama kalinya melewati Kaabah. Menitis air mata mengenangkan saat manis ini dan tidak terungkap dengan kata-kata.

Berita Harian X