Khamis, 24 Januari 2019 | 8:53am
Kajian membuktikan Piperia sebagai alternatif melegakan keradangan. - NSTP/Azhar Ramli

Akar lada liar alternatif kurangkan keradangan

KUALA LUMPUR: Kepekaan wanita meneroka produk berasaskan pertanian sebagai sebahagian daripada makanan kesihatan tambahan, memberi peluang mereka memanfaatkan hasil untuk kebaikan semua.

Usahawan dari Sarawak, Nur Azura Mansor, gigih menghasilkan produk berasaskan akar lada liar yang digunakan untuk antiradang, sekali gus memenangi Anugerah Inovasi Terbaik.

Hasil projek kerjasama syarikatnya, Bidayuh Sons dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), bersama penyelidik, Dr Chua Hun Pin, beliau mengeluarkan produk yang diberi nama Piperia.

Menerusi kerjasama pintar itu, kata beliau, pihaknya menemui khasiat akar lada liar, satu-satunya bahan yang hanya terdapat di Sarawak.

Produk berasaskan tumbuh-tumbuhan

“Selain bahan asas berkenaan, ramuan itu juga dicampur lada hitam dan halia Sarawak, bagi menghasilkan produk berasaskan tumbuh-tumbuhan yang terkandung pelbagai khasiat pemakanan,” katanya yang menyertai pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018), baru-baru ini.

Menurut Nur Azura, idea menghasilkan Piperia dalam bentuk kiub mirip kaedah pembungkusan gula-gula lada hitam hitam, yang banyak dipasarkan di Sarawak.

“Piperia adalah produk kedua saya selepas bahan makanan berkhasiat berasaskan lada hitam, yang dihasilkan sebelum ini.

Usahawan dari Sarawak, Nur Azura Mansor. - NSTP/Azhar Ramli

“Ini peningkatan dalam usaha menjana hasil pertanian secara inovatif.

“Kajian awal membuktikan pengambilan bahan berasaskan akar kayu, sebagai penyelesaian alternatif melegakan keradangan.

“Kiub botani ini menggunakan teknologi mudah dan peralatan minimum, menjadikan kos lebih berkesan untuk produk bernilai tinggi bagi pasaran industri herba, produk kesihatan dan makanan halal,” katanya yang sudah memasarkan produknya ke seluruh negara.

Katanya, antara khasiat lain Piperia adalah untuk membuang angin, membantu mengekalkan kelembapan tubuh, menguatkan otot perut, membantu rheumatisme, melegakan kesan ketidakhadaman dan pengembangan abdomen.

Selain boleh digunakan sebagai pemanis minuman, bahan tambahan ini berfungsi untuk proses penapaian, perasa dalam rebusan seperti sup serta minuman.

“Ia juga boleh dimanfaatkan untuk rebusan ubatan tradisional dan herba,” katanya.

Berita Harian X