Rabu, 20 Februari 2019 | 10:37am
ANTARA peserta menghadiri bengkel program Disability Equality Training di Institut Sosial Malaysia, semalam. - Foto Nik Hariff Hassan

Agensi kerajaan, swasta kurang sensitif keperluan OKU

KUALA LUMPUR: Kelemahan sistem infrastruktur antara faktor menyebabkan golongan orang kurang upaya (OKU) masih tidak dapat menjalani kehidupan dengan sempurna.

Kekangan itu masih wujud di premis kerajaan hingga menyukarkan golongan OKU bergerak, antaranya laluan kerusi roda tidak sempurna, ramp dibina tidak mengikut spesifikasi, selain laluan pejalan kaki OKU penglihatan tidak mesra pengguna.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Dr Al-Azmi Bakar, berkata kekurangan itu seolah-olah menidakkan hak OKU untuk menikmati kemudahan sempurna berbanding individu normal.

Beliau berkata, kelemahan lain termasuk kurangnya jurubahasa isyarat dan tidak wujud jawatan pegawai perkhidmatan pelanggan berkemahiran khusus mengendalikan keperluan mereka.

“Kelemahan ini nampak kecil namun tanpa disedari masalah berkenaan memberi kesan tidak sihat dalam menjaga kebajikan golongan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Disability Equality Training (DET) di ISM, semalam.

Ubah persepsi negatif

Al-Azmi berkata, masyarakat perlu mengubah persepsi negatif terhadap OKU, selain setiap agensi kerajaan mahupun swasta menyediakan pegawai khas berkemahiran mengendalikan urusan membabitkan golongan berkenaan.

Beliau berkata, pengurusan OKU memerlukan individu berkemahiran kerana setiap golongan itu mempunyai keperluan pengurusan berbeza mengikut kategori ketidakupayaan.

“Anggapan OKU tidak mampu berdikari tidak boleh diterima kerana mereka terbukti mampu melakukan tugas dengan baik, malah ada yang memegang jawatan penting dalam agensi,” katanya.

Mengulas ketetapan kuota satu peratus jawatan untuk golongan OKU, beliau berharap semua pihak memberi perhatian khusus kerana ia sudah ditetapkan kerajaan bagi menjaga kebajikan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, tidak dinafikan masih ada agensi kerajaan mahupun swasta masih belum memenuhi kuota berkenaan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam kalangan OKU bagi memenuhi jawatan bersesuaian.

Bagi memenuhi keperluan OKU juga, Al-Azmi berkata, ISM mengambil inisiatif menganjurkan program latihan melahirkan 1,083 lay kaunselor sejak 2014.

Tingkat kesedaran

“Kami bercadang melahirkan 500 lagi lay kaunselor menerusi kursus dan bengkel profesion itu selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai jumlah 10,000 lay kaunselor pada 2019,” katanya.

DR Aizan Sofia ketika memberi ceramah sosial pada bengkel DET Ketidak Upayaan Equality Training di Institut Sosial Malaysia. - Foto Nik Hariff Hassan

Sementara itu, jurulatih DET, Dr Aizan Sofia Amin, berkata program DET, bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap masalah dihadapi OKU yang perlu difahami semua pihak terutama golongan normal.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata keperluan OKU pelbagai, setiap urusan memerlukan individu berkemahiran.

“Kita perlu kaedah terbaik menyantuni mereka sekali gus mengelak daripada berasakan diri mereka terasing atau diskriminasi,” katanya.

Kakitangan Unit Perhubungan Awam ISM, Norasidawati Muhamed Sidek, 44, berkata kursus itu membuka mata masyarakat memahami keperluan khusus OKU.

“Pengetahuan asas bahasa isyarat amat penting bagi membantu keperluan OKU dalam berkomunikasi secara berkesan. Kursus sebegini harus diadakan di setiap agensi dengan memberi penekanan terhadap latihan amali supaya mudah dipraktikkan,” katanya.

Sementara itu, Perunding Latihan Kluster Pembangunan Sosial ISM, Nurul Farhana Khamsar, 29, berkata kursus DET seharusnya disertai pelbagai lapisan masyarakat supaya mendapat pendedahan cara mengendalikan OKU secara sistematik.

“Program ini memberi ilmu dan kemahiran kepada peserta mengendalikan masalah dihadapi di tempat awam seperti mententeramkan OKU mental.

“Selain itu, ia mendidik peserta meningkatkan keyakinan menguruskan golongan ini ketika berhadapan situasi kritikal,” katanya.

Info

Program Disability Equality Training (DET)

Program anjuran ISM memperkasakan OKU.

Kursus

Asuhan Permata (KAP) disertai 120 orang golongan B40 sebagai pengasuh pendidik di taman asuhan kanak-kanak.

Bengkel CareGiver melatih 200 orang sukarelawan dengan kemahiran penjagaan OKU, warga emas, kanak-kanak dan pesakit terlantar.

Berita Harian X