Jumaat, 1 March 2019 | 11:50am
Yeoh (lima dari kiri) pada Forum The Rethinking Ageing di Petaling Jaya, semalam. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Bincang 6 isu warga emas

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan beberapa kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai enam isu pengabaian warga emas bagi memperkukuhkan undang-undang berkaitannya.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, berkata ia membabitkan isu penjagaan kesihatan, keperluan asas, pendapatan dan kewangan, peluang pekerjaan, penyertaan sosial integrasi dan keselamatan warga emas.

Katanya, usaha memperkasakan warga emas dalam komuniti tidak boleh dilakukan tanpa sokongan NGO.

Justeru, pelbagai pihak perlu berganding bahu mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi membentuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat bagi menangani masalah dihadapi warga emas.

“Pengabaian itu membabitkan ahli keluarga terdekat termasuk penyalahgunaan kewangan. Kebanyakan mereka menderita dalam diam dan tidak mengeluh jauh sekali membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, tidak ada gunanya andai banyak udang-undang disediakan tetapi mangsa masih takut untuk melaporkan mengenai kes yang berlaku.

“Ia sama seperti kes gangguan seksual, iaitu ramai mangsa enggan buat laporan walaupun kerajaan sudah menyediakan banyak saluran untuk membantu dan membanteras jenayah berkenaan,” katanya selepas Forum The Rethinking Ageing, di sini, semalam.

Beliau berkata, Malaysia akan menjadi negara tua dengan 15 peratus penduduk terdiri daripada warga emas menjelang tahun 2030.

Negara tua menjelang 2030

Menurut kajian Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), 80 peratus warga emas mengakui mereka mahu dijaga anak masing-masing.

Namun, katanya, ramai anak enggan menjaga ibu bapa kerana banyak kekangan hingga memaksa mereka menempatkan ibu bapa ke rumah kebajikan warga emas.

Yeoh berkata, rumah kebajikan untuk warga emas seharusnya dibuka lebih banyak di kawasan perumahan berdekatan bandar.

“Ini memudahkan anak yang menetap berhampiran melawat ibu bapa daripada menempatkan mereka di kawasan luar bandar atau pedalaman.

“Ramai tidak faham apabila memindahkan ibu bapa ke lokasi baharu, ia menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian. Menghantar ke kawasan bandar membolehkan menjalani pelbagai aktiviti biasa dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun ada penduduk di kawasan kejiranan tidak bersetuju rumah kebajikan dibuka di kawasan perumahan kerana tidak selesa dengan gangguan seperti bunyi siren ambulans selain berlaku banyak kematian di rumah berkenaan.

“Sesetengah masyarakat menganggap ia sebagai ‘pantang’ kerana ia boleh menjejaskan nilai pasaran dan pelaburan hartanah hingga sukar untuk dijual pada masa depan,” katanya.

Penyalahgunaan kewangan

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata, kementeriannya akan meneliti isu berkaitan penyalahgunaan kewangan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka.

“Ada anak yang bertindak mengambil wang simpanan ibu bapa mereka termasuk di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain menjual aset dan hartanah tetapi akhirnya mengabaikan ibu bapa.

“Ini penderaan dari sudut kewangan kepada warga emas. Banyak kes seperti ini berlaku tetapi atas sifat kasih sayang kepada anak-anak ibu bapa tidak melaporkan mengenai kes itu ke balai polis,” katanya.

Berita Harian X