Khamis, 23 Mei 2019 | 10:24am
PESAKIT saraf, Muhammad Haikal Mohd Nasir membuat lakaran bagi menyiapkan tempahan sampul raya pelangganya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Rezeki di atas tilam bujang

Kuala Lumpur: Duduk berlapikkan atas tilam bujang dengan posisi 45 darjah membengkok, tidak menghalang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap penyakit genetik, ‘Duchenne Muscular Dystrophy menyiapkan tempahan lebih 3,000 keping sampul duit raya.

Pelukis Digital, Muhammad Haikal Mohd Nasir, 21, yang menghidap penyakit jarang jumpa sejak berusia lapan tahun menyediakan lebih 25 rekaan menarik untuk dijual kepada pelanggan termasuk dari Singapura.

Hasil kreativiti itu dijual semurah RM4 untuk enam keping sampul raya, selain pelanggan boleh meletakkan gambar, logo dan ucapan hari raya.

Sejak tempahan dibuka pada Februari lalu sambutan diterima amat menggalakkan terutama daripada rakan media sosial dan peminat blognya, Inspirasi Haikal Rider.


PESAKIT saraf, Muhammad Haikal Mohd Nasir yang mengambil tempahan sampul raya dibantu ibu bapanya, Intan Kesuma Ramli dan Mohd Nasir Ibrahim. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Setiap hari saya akan memulakan tugasan melukis secara digital selepas sahur dan setiap rekaan mengambil masa seminggu untuk disiapkan, manakala rekaan sedia ada mengambil masa lebih singkat.

“Saya buat semuanya bermula mencari idea, melukis secara digital sehingga cetakan menggunakan kertas seni, melainkan tugas melipat dan membungkus sampul raya dibantu ibu dan bapa.

“Selagi masih boleh duduk dan tangan masih boleh memegang pen digital untuk melukis, saya akan terus berusaha mencari rezeki dan membantu keluarga.

“Sejak usia kecil, saya sudah minat melukis. Walaupun cita-cita dahulu mahu jadi tentera darat tidak kesampaian disebabkan masalah kesihatan. Jadi cari alternatif menceburi ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Ipoh, baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sentul Utama ini pernah melukis menggunakan tangan sebelum tangannya sudah tidak kuat melukis sejak beberapa tahun lalu.


PESAKIT saraf, Muhammad Haikal Mohd Nasir membuat lakaran bagi menyiapkan tempahan sampul raya pelangganya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Rezeki saya amat baik apabila Make-A-Wish Malaysia menunaikan impian saya memiliki peranti digital, iPad Pro bagi memudahkan melukis apabila tangan sudah semakin lemah untuk menghasilkan lukisan tangan,” katanya.

Muhammad Haikal berkata, beliau lebih gemar mencari idea dan ilham melukis motif pada waktu malam, manakala tugas mencetak dilakukan di sebelah siang.

Haikal sebelum ini dilahirkan sebagai bayi normal dengan berat 3.1 kilogram (kg), sebelum didiagnos doktor menghidap penyakit itu sejak 13 tahun lalu.

Akibat kerap jatuh dan sukar menaiki tangga beliau dibawa ibunya, Intan Kesuma Ramli, 41, dan ayah, Mohd Nasir Ibrahim, 43, berjumpa doktor sebelum disahkan menghidap penyakit jarang jumpa.

“Saya menjadikan aktiviti melukis, berpuisi dan menulis cerpen sebagai terapi diri. Saya sudah berhenti menangis kerana menghidap penyakit ini dan mahu fokus menjadi usahawan kreatif.

“Sudah penat menangis dan secara perlahan-lahan saya didik hati supaya menerima dugaan Allah ini dengan bertawakal tanpa menyalahkan takdir.

“Sokongan moral ibu, ayah, keluarga dan rakan menguatkan semangat. Saya mahu buktikan OKU seperti saya boleh mencari pendapatan sendiri dan berdikari,” katanya.


GAMBAR kiri; Pesakit saraf, Muhammad Haikal Mohd Nasir menunjukkan lukisan ibu dan bapanya. Gambar kanan; bersama sebahagian daripada koleksi sampul raya yang ditempah pelanggannya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Beliau berkata, selalunya, apabila menghidap penyakit seperti ini pesakit rasa kecewa dan tidak mahu buat apa-apa dalam kehidupan, sebaliknya hanya meratap sedih.

Walaupun sudah menggunakan mesin bantuan oksigen ketika tidur sejak berusia 16 tahun, Muhammad Haikal masih cekal mencari pendapatan sendiri berlapikkan tilam bujang selagi nyawa dikandung badan.

Sementara itu, Intan Kesuma, berkata keadaan paru-paru anaknya hampir rosak mengakibatkan sukar bernafas dengan baik.

Katanya, anak sulungnya itu mempunyai semangat tinggi untuk meneruskan hidup meskipun menanggung kesakitan.

“Pada usia lapan tahun dia menunjukkan gejala penyakit. Cara berjalan sudah nampak lain, terjengket-jengket, apabila berjalan kerap jatuh.

“Ketika usia mencapai 10 tahun keadaan semakin teruk dan mencecah usia 12 tahun Haikal sudah tidak boleh berjalan, sebaliknya duduk di kerusi roda,” katanya.

Berdasarkan usahanya, beliau yakin Muhammad Haikal mampu pergi jauh dalam bidang ini, sekali gus dapat merealisasi hasratnya melebarkan sayap perniagaan dengan menghasilkan produk lukisan menggunakan kraf.

Berita Harian X