Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:02am
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Aini Ideris (empat kanan) dan Presiden Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA), Tan Sri Dr Abd Aziz Abd Rahman (empat kiri) menandatangani surat Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan disaksikan Penaung RDA, Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah (tengah) di Royal Selangor Polo Club, Ampang. - Foto Zunnur Al Shafiq

UPM bekerjasama RDA beri khidmat terapi berkuda

AMPANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) berminat menyalurkan khidmat sukarelawannya bagi memberikan sokongan kepada Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA), sekali gus membantu kanak-kanak berkeperluan khas pulih daripada penyakitnya.

Menerusi Kelab Ekuestrian Putra UPM, sekumpulan 20 ahlinya akan menyumbangkan peranan sebagai pengemudi kuda, pembantu pengemudi serta khidmat kejurulatihan kepada persatuan berkenaan sekali gus mempelajari kepakaran daripada RDA yang mahir dalam terapi berkuda sejak puluhan tahun lalu.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris, berkata terapi berkuda yang diterapkan kepada orang kurang upaya (OKU) dilihat memberi perkembangan positif kepada anak-anak sekali gus menjadi terapi penyembuhan pelbagai penyakit.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Aini Ideris di majlis menandatangani surat Perjanjian Persefahaman (MOU) diantara Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) dan University Putra Malaysia (UPM) di Royal Selangor Polo Club, Ampang. - Foto Zunnur Al Shafiq

“Saya percaya dengan khidmat sukarelawan bakal memberikan kepakaran terlatih, menambah baik elemen penyelidikan universiti serta memperkasakan kemahiran insaniah penuntut dalam menyumbang peranan dalam pembangunan komuniti.

“Seperti kita maklum, terapi berkuda di negara ini dimulakan RDA sejak 1984 lagi dengan keseluruhan anggota adalah sukarelawan, justeru sebagai universiti penyelidikan, kita berharap ini membantu lebih ramai kanak-kanak palsi serebrum, autisme, sindrom down dan lambat perkembangan dipulihkan,” katanya.

Terdahulu, beliau menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Presiden RDA, Tan Sri Dr Abd Aziz Abd Rahman dengan disaksikan Penaung RDA, Raja Azureen Sultan Azlan Shah di Royal Selangor Polo Club, dekat sini, hari ini.

Yang turut menjadi saksi perjanjian itu Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof Datuk Mohd Hair Bejo dan Setiausaha Kehormat RDA, Johari Lee.

Aini berkata, cadangan membangunkan program UPM-RDA mengenai terapi berkuda itu adalah hasil inisiatif awal Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinarnya, Dr Nurul Hayah Khairuddin.

“Kita berharap dengan jalinan kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar UPM menyumbang kepakaran dan pengetahuan dengan mempelajari teknik terapi berkuda seterusnya menjadi kumpulan sokongan bagi sukarelawan terlatih pada masa depan.

“Pada masa sama, kita melihat kolaborasi berkenaan membuka ruang penyelidikan mengenai terapi berkuda di negara ini dan memartabatkan lagi terapi alternatif khusus kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Anak Palsi Serebrum (GAPS), Rafidah Ahmad, berkata anak keduanya, Izdihar Janna Adzly, 14 tahun menunjukkan perkembangan positif dan semakin sembuh hasil dedikasi mengikuti terapi berkuda sejak 2012 lagi.

“Saya gembira melihat perkembangan yang baik biarpun dia penghidap palsi serebrum, dia mampu duduk tegak ketika menunggang kuda, sekali gus memberi sinar kegembiraan kami yang tidak pernah putus asa memulihkannya.

“Sebagai ibu, kita hanya mendoakan yang terbaik kerana mempunyai anak kurang upaya adalah satu ujian daripada-Nya, tidak boleh menyerah tanpa sebarang ikhtiar,” katanya.

Berita Harian X