Jumaat, 9 Ogos 2019 | 12:42pm
ALHA Alfa bertemu dengan penerima bantuan asnaf, Mohamad Jihadi Yusoff (kiri) dan isteri, Norhanan Mohd Nor (kanan) pada program Skuad Jejak Kemiskinan Daerah Gombak di sekitar Ukay Perdana. Foto Eizairi Shamsudin

Dulu asnaf kini jutawan kosmetik

AMPANG: Merasai saat sukar kehidupan di ibu kota apabila bapa bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM500 sebulan dan menetap di pangsapuri kos rendah, mendorong pengasas produk kecantikan, Alha Alfa Cosmetics, Datuk Alha Alfa, menyertai Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendekati golongan asnaf.

Alha Alfa atau nama sebenarnya, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, pada zaman persekolahan juga pernah menerima bantuan zakat.

Justeru, selepas dilimpahi kemewahan dengan usaha sebagai usahawan, beliau tidak kekok bersemuka dengan golongan fakir dan miskin.

Beliau juga menyampaikan sumbangan peribadinya menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di daerah Gombak, kelolaan LZS, baru-baru ini.

“Saya pernah hidup susah. Walaupun ayah bekerja, pendapatannya tidak cukup untuk menampung kehidupan keluarga. Tambahan pula, ketika zaman belajar dulu, saya pernah menerima bantuan zakat daripada LZS ketika menghadiri perkhemahan selama seminggu bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebab itu hubungan saya dan LZS, sangat dekat.


PROGRAM Skuad Jejak Kemiskinan Daerah Gombak, di sekitar Ukay Perdana. Foto - Eizairi Shamsudin

“Usaha LZS membawa pengeluar atau pembayar zakat terus ke penempatan golongan asnaf dan melihat sendiri proses bancian kelayakan menerima bantuan zakat, program tanggung jawap sosial korporat (CSR) seperti ini sangat murni dan perlu diteruskan.

Biar anak-anak yang menerima bantuan zakat, suatu hari nanti mereka menjadi individu kebanggaan negara,” katanya.

Selain Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd, program SJK turut disertai wakil syarikat lain seperti SIRIM Berhad, SIRIM QAS International Sdn Bhd, SIRIM QAS Sdn Bhd, Malaysia Airport Holding Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Spymphony Life Berhad.

Selepas meneliti bancian yang dilakukan terhadap golongan asnaf yang bakal menerima bantuan zakat, ternyata pendapatan bulanan untuk keperluan isi rumah, tidak cukup walaupun mereka bekerja.

Gaji atau upah yang diterima tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian, pendidikan anak-anak dan rawatan kesihatan. Sesetengah pendapatan itu jumlahnya negatif.

“Saya pening memikirkan perkara itu. Difahamkan, 10 peratus sahaja syarikat milik orang Islam di Selangor mengeluarkan zakat. Justeru, saya berharap selepas ini lebih banyak syarikat korporat mahupun individu perseorangan yang berkemampuan di negeri berkenaan, menyedari tanggung jawab mereka, sekali gus membantu LSZ menyalurkan bantuan kepada asnaf,” katanya.


Alha Alfa Foto - Salhani Ibrahim

Ketua Pegawai Eksekutif, LZS, Saipolyazan Mat Yusop, berkata program SJK di daerah Gombak menjejaki golongan asnaf di pangsapuri kos rendah sekitar Ukay Perdana adalah aktiviti CSR yang membawa pembayar zakat turun padang mendekati golongan itu.

Katanya, menerusi aktiviti itu pihaknya dapat melihat gambaran lebih jelas bagaimana proses bancian dilakukan.

“Operasi rutin seperti ini bersifat cari, siasat dan bantu bertujuan mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan, sekali gus disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin serta mualaf,” katanya.

Matlamat LZS adalah menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak diberi bantuan, namun belum menerimanya atas beberapa faktor.

Siasatan berterusan dari rumah ke rumah dijalankan bagi menyemak keperluan berdasarkan garis penentuan kemiskinan keluarga berkenaan.

“Selepas proses bancian kelayakan menerima bantuan zakat, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf dan akan menerima bantuan seperti pendidikan dan perubatan serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa,” katanya.


ANTARA program menyatuni golongan asnaf menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan, di Ukay Perdana. Foto -Eizairi Shamsudin

Berita Harian X